Sabtu, 31 Disember 2016

PFAM BIDAS KENYATAAN ANNUAR

Oleh MUHD. ARDIE PUTRA SUHAIMI
HAIRUDDIN

PRESIDEN Persatuan Pemain-Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), Hairuddin Omar membidas kenyataan Tan Sri Annuar Musa yang sebelum ini mempersoalkan tugas badan bukan kerajaan (NGO) itu dalam memperjuangkan hak pemain khususnya melibatkan soal tunggakan gaji.

Sebagai rekod, bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) itu menerusi entri Facebook pada 29 Disember lepas mengkritik PFAM yang hanya tahu memberi ulasan tetapi tidak pernah menjalankan tugas untuk mempertingkatkan tahap profesionalisme pemain dalam kancah Liga Malaysia (Liga M).

Namun, Hairuddin yang juga merupakan bekas pemain kebangsaan menjelaskan PFAM tidak berniat untuk mencampuri pengurusan persatuan bola sepak tetapi akan memberi ulasan sekiranya mereka menerima laporan daripada para pemain (ahli PFAM) yang meminta bantuan bagi menyelesaikan masalah mereka terutama melibatkan soal gaji.

“Kami telah mencari jalan penyelesaian tetapi tetap menemui jalan buntu kerana persatuan yang diwakili pemain terbabit seolah-olah tidak serius dalam usaha menyelesaikan masalah tunggakan gaji. Situasi seperti ini amat mengecewakan kami.

“Jawapan yang selalu kami terima daripada persatuan yang mengalami masalah ini ialah ketiadaan dana, menunggu duit penaja dan lain-lain. Namun, ironinya pasukan-pasukan yang terus berhutang ini masih ligat merekrut pemain-pemain baharu sebagai persiapan menjelang aksi Liga M musim depan,” kata Hairuddin semalam.

Dalam perkembangan sama, bekas pemain kebangsaan yang berasal dari Terengganu itu turut berpendapat bahawa Annuar mencari jalan singkat dengan menyalahkan PFAM berbanding menyelesaikan masalah yang dialami oleh KAFA bersama bekas dan barisan pemainnya yang difahamkan masih belum menerima gaji untuk saingan musim lepas.

“Kami akui ada segelintir pemain yang menghadapi masalah tetapi secara keseluruhan mentaliti dan profesionalisme barisan pemain kini sudah semakin baik. Namun, situasi berbeza buat pihak pengurusan pasukan yang dilihat masih kurang profesional dan matang.

“Kami percaya persatuan masih berada di takuk lama kerana isu yang berlaku pula ialah isu yang sama setiap tahun. Malah, ketika kita ke arah penswastaan liga, kebanyakan pasukan masih belum bersedia untuk keluar daripada zon selesa dan yang menjadi mangsa ialah pemain,” jelasnya lagi.

Sementara itu, Hairuddin juga menyatakan sokongan penuh kepada Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail yang telah menjalankan tugas dengan cemerlang sejak PFAM ditubuhkan lebih dua tahun lalu.

“Apa yang pasti, sebagai sebuah persatuan yang mewakili pemain, kami sememangnya mengambil serius perkara-perkara yang mendatangkan masalah kepada mereka (pemain). Bola sepak merupakan punca rezeki pemain dan kami akan terus berjuang demi keadilan,” ujarnya.

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0101&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4USyfmkOu Hakcipta terpelihara

Khamis, 22 Disember 2016

Jangan pertikai nilai pemain - Presiden PFAM

Oleh Azidan Nahar azidan@bh.com.my PRESIDEN Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM),
 
Hairuddin Omar. - Foto Muhd Asyraf Sawal KUALA LUMPUR: Nilai pemain yang mencecah jutaan ringgit dalam Liga Malaysia (Liga M) perlu dilihat dalam aspek positif jika bola sepak negara hendak menuju ke arah profesional seperti di luar negara.

Presiden Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), Hairuddin Omar berpendapat, Liga M perlu ada pemain yang memiliki nilai serta kualiti dan semua pihak perlu positif mengenai perkara itu.

"Kita perlu tingkatkan liga kita, nak jadi lebih berkualiti kelab perlu tambah pendapatan, jual pemain adalah sebahagian daripadanya," katanya ketika dihubungi BH Online, sebentar tadi. Hairuddin mengulas mengenai pemain Selangor, Ahmad Hazwan Bakri yang menyertai juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan yuran perpindahan difahamkan mencecah kira-kira RM1 juta.

Jumlah itu difahamkan termasuk dengan nilai tebus kontrak RM600,000 selepas kontrak pemain berusia 25 tahun itu masih berbaki setahun dengan The Red Giants.

Bagaimanapun legenda bola sepak negara, Datuk Santokh Singh menegaskan tiada seorang pun pemain Liga M bernilai jutaan ringgit berdasarkan kualiti dan prestasi mereka. Hairuddin berkata, beliau melihat nilai pemain itu sebagai sesuatu yang subjektif dan ia tidak seharusnya dipertikaikan.

"Kita tak boleh cakap mahal atau murah, Selangor kehilangan Hazwan, mungkin mereka hilang penonton dan penaja dan mereka merasakan nilai itu adalah berpatutan atas pemain itu. "Kita perlu tingkatkan liga kita, nak jadi lebih berkualiti kelab perlu tambah pendapatan, jual pemain adalah sebahagian daripadanya," katanya.

Hairuddin berkata, jika pemain itu diletakkan pada harga mahal, kelab yang tidak mampu tidak perlu membelinya. "Sebagai contoh JDT, mereka sudah berada dalam kelas yang lain, mereka sudah jauh berada di depan bukan hanya bermain untuk Liga M saja.

"Mereka mahu bermain dalam saingan Asia, Liga Juara-Juara Asia, mereka mesti menguatkan pasukan dengan pemain tempatan dan mereka mesti cari yang berada dalam prestasi terbaik kerana kita tidak boleh beli semua pemain import.

"Mereka ada duit mereka boleh beli, jika kelab tiada wang, mereka tidak perlu beli," katanya. Dalam pada itu, Hairuddin menasihatkan pemain supaya lebih bertanggungjawab untuk meningkatkan permainan mereka dan setaraf dengan nilai tinggi diletakkan terhadap mereka.

Sumber-Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/223701

Isnin, 19 Disember 2016

Pahang masih belum mengaku kalah


 

ARKIB : 13/04/2000
Pahang masih belum mengaku kalah
PENJAGA gol Terengganu, Zubir Ibrahim menghalang pemain Pahang, Wan Rohaimi Ismail daripada menendang bola pada perlawanan bola sepak Piala FA di Kuantan, kelmarin. Terengganu menang 3-0.

DI ATAS kertas, mendahului 3-0 sudah dikira cukup selesa, tetapi bagi jurulatih Terengganu, Yunus Aliff, ungkapan apa saja kemungkinan boleh berlaku dalam bola sepak, masih lagi menjadi pegangannya, lapor ABDUL HAFIZ AHMAD.

Justeru Yunus secara merendah diri menganggap, Pahang masih turut mempunyai peluang seimbang untuk berbuat sesuatu dalam baki 90 minit pada suku akhir kedua Piala FA di Kuala Terengganu, 25 April ini.

''Pengalaman saya sebagai pemain dan jurulatih cukup mematangkan saya untuk menolak daripada berasa terlalu yakin dan selesa,'' kata Yunus.

''Saya sentiasa ingatkan pemain supaya jangan leka kerana itu hanya akan mengundang padah dalam apa jua perlawanan,'' katanya lagi.

Yunus mengulas persembahan pasukannya yang juga naib juara Piala FA tahun lalu pada perlawanan suku akhir pertama di Stadium Darul Makmur, Kuantan, kelmarin.

Menurutnya, skuad Penyu juga sentiasa ditekankan agar terus mengamalkan corak menyerang sekalipun sudah mendahului lawan dengan satu atau dua gol.

''Ini (suku akhir pertama) cuma sebagai permulaan. Apa pun dengan modal 3-0 ini, Terengganu tidak sesekali akan mengamalkan corak bertahan pada suku akhir kedua di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah,'' katanya.

Yunus menyifatkan kemenangan anak buahnya itu mungkin kerana pemain sudah mengerti mereka tidak perlu bermain di bawah tekanan sebaliknya dengan matlamat untuk menang dan mencari seberapa banyak gol.

''Hasil pendekatan yang bermatlamat positif juga membolehkan aksi menghantar bola ke belakang sudah mulai berjaya dikikis daripada pemain saya,'' katanya lagi.

Beliau turut mengakui aksi Hairuddin Omar, Halim Jantan dan Armi Shariff kelmarin menjadi antara penyumbang utama kemenangan Terengganu, kelmarin.

Bagaimanapun, Yunus juga berpendapat, barisan tenaga muda Penyu itu masih lagi memerlukan masa dan banyak pendedahan untuk mencapai kematangan permainan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0413&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4TGoqXi6W © Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 18 Disember 2016

Terengganu mungkin guna dua pemain Piala Presiden

ARKIB : 10/04/2000
TERENGGANU mungkin menggunakan khidmat dua pemain pasukan Liga Simpanan bagi memantapkan pasukan menghadapi Pahang pada peringkat suku akhir bola sepak Piala FA di Kuantan, Selasa ini.

Pemain berkenaan ialah Alfian Aziz dan Ahmad Tahrin Yusof, kata Setiausaha Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu, Abdullah Salleh kepada Bernama, semalam.

Beliau berkata, Terengganu memerlukan tenaga kedua-dua pemain penyerang itu berikutan Hairuddin Omar dan Khairul Anua Karim cedera dan mungkin tidak diturunkan dalam pertemuan itu.

Abdullah berkata Alfian dan Ahmad Tahrin telah bermain dengan cemerlang ketika Terengganu mengadakan perlawanan persahabatan di selatan Thailand baru-baru ini.

''Kita yakin Alfian dan Ahmad Tahrin akan dapat membantu Terengganu dalam pertemuan dengan Pahang nanti,'' katanya.

Pertemuan kedua peringkat suku akhir antara kedua-dua pasukan itu akan diadakan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada 25 April ini.

Abdullah berkata, Terengganu juga mungkin tidak dapat menggunakan khidmat pemain pertahanan Ghani Malik dan Rosdi Talib kerana kedua-dua pemain itu mewakili pasukan kebangsaan di pertandingan Piala Asia di Bangkok.

Beliau berkata, Terengganu akan menurunkan barisan terbaik bagi memastikan ia tidak kecundang di Kuantan nanti.

''Kita (Terengganu) akan turun sebagai underdog dan akan memberikan tentangan sengit kepada pasukan Pahang,'' katanya.

Abdullah berkata, pemain-pemain Terengganu juga dinasihatkan bermain dengan penuh semangat dan dedikasi supaya mereka tidak dipermudahkan oleh Pahang. ''Matlamat kita ialah untuk sekali lagi memasuki pertandingan akhir Piala FA musim ini,'' katanya. - Bernama

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0410&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4TFy30sOy © Utusan Melayu (M) Bhd

Andai Kelantan tarik diri, pemain berdepan kesukaran

SABTU, 17 DISEMBER 2016 @ 3:31 PM
Oleh Azidan Nahar azidan@bh.com.my Hairuddin Omar
 
 KUALA LUMPUR: Pemain Kelantan akan berdepan masalah besar sekiranya pasukan itu tetap dengan keputusan menarik diri daripada saingan Liga Malaysia (Liga M), musim depan jika tiada penyelesaian dapat dilakukan secepat mungkin.

Presiden Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), Hairuddin Omar berkata, jika pemain Kelantan mahu berpindah ke pasukan lain, pelbagai perkara perlu diselesaikan termasuk berkaitan kontrak.

"Kebanyakan pasukan yang bermain dalam liga ketika ini sudah (ada senarai) penuh (pemain). Kalau ada pun kosong ia hanya pasukan biasa-biasa saja," katanya ketika dihubungi BH Online, sebentar tadi. Semalam, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) memutuskan untuk menarik diri kerana tidak mampu menyediakan dana yang mencukupi untuk pengurusan skuad Kelantan dalam menghadapi saingan Liga M musim 2017.

Setiausaha KAFA , Datuk Ismail Md Noor, berkata mesyuarat khas EXCO KAFA yang diadakan kelmarin sudah mengambil kata sepakat bahawa Kelantan tidak mampu dan terpaksa menarik diri pada musim hadapan. Bagaimanapun katanya, keputusan terakhir akan dibuat menerusi kongres luar biasa yang diadakan pada 29 Disember nanti sekiranya berlaku keajaiban hingga mengubah keputusan asal.

Hairuddin menjelaskan, pihak yang mahu mengambil pemain Kelantan juga perlu menyelesaikan masalah kontrak yang mungkin masih berbaki dengan pasukan lama dan itu akan turut menimbulkan banyak masalah. Katanya, jika Kelantan mahu meminjamkan pemain mereka kepada pasukan lain, masih wujud masalah kerana pasukan lain juga sudah cukup pemain dan ia juga membabitkan kos lain seperti gaji dan sebagainya.

 Berikutan itu, menurut Hairuddin, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan pengendali Liga Malaysia, Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) perlu mencari penyelesaian segera.

"Saya positif masalah ini sedang diuruskan sedaya upaya oleh pihak terbabit. "Mereka perlu buat apa saja kerana adalah satu kerugian pada pemain dan pasukan kerana pasukan Kelantan ada penonton yang ramai, kemeriahan Liga M akan hilang jika tiada pasukan Kelantan," katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Hairuddin menasihatkan pemain supaya meneruskan latihan seperti biasa kerana penyelesaian kepada perkara itu masih belum diputuskan. "Jika Kelantan menarik diri, mereka perlukan masa yang lama untuk kembali ke tahap seperti ini. Mungkin tiga hingga empat tahun, kerana itu semua pihak perlu mencari penyelesaian terbaik.

"Jika pasukan Kelantan perlu berhutang, mereka perlu melakukannya kerana bagi saya pasukan ini tidak boleh menarik diri kerana kesannya amat besar bukan saja kepada pemain tetapi kepada bola sepak Malaysia secara keseluruhan," katanya


Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/224704

Selasa, 13 Disember 2016

Penyu gugur 4 pemain musim baru

ARKIB : 08/12/1999
SKUAD Penyu akan turun gelanggang untuk Liga Perdana dan Piala Malaysia musim depan tanpa empat pemainnya iaitu Tay Sin Kiat, Baharuddin Ali, Badrul Afzan Razali dan Wan Ahmad Ridzuan Hussin, lapor RADHUAN HUSSAIN.

Tay dan Baharuddin tidak disenaraikan dalam skuad disebabkan mereka telah habis tempoh bersama Terengganu malah mereka tidak berhasrat menyambung kontrak.

Sementara dua lagi pemain, Badrul Afzan dan Wan Ahmad Ridzuan telah menyatakan hasrat mereka untuk tidak lagi bersama Penyu biarpun kontrak mereka masih ada setahun lagi.

Setiausaha Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Abdullah Salleh ketika mengesahkan perkara itu berkata, perkembangan mengenainya diketahui pada majlis perjumpaan dari hati ke hati antara pegawai dan pemain yang berlangsung Ahad lalu.

''Sementara lain-lain pemain kekal dalam senarai termasuklah Sapian Wahid yang mengambil keputusan menyambung kontrak untuk setahun lagi. Kontrak Sapian sepatutnya tamat pada 31 Disember ini,'' katanya di Kuala Terengganu semalam.

Lain-lain ialah Zulharisan Awang, Syamsol Saad, Mohd. Noor Derus, Badrul Hisham Abdullah, Zubir Ibrahim, Rosli Omar dan A. Ganeson.

Sementara kedudukan Azman Ismail yang kini sedang menjalani pembedahan hanya akan dapat ditentukan kemudian sebaik sahaja diputuskan oleh doktor.

''Apa yang diberitahu oleh doktor setakat ini, Azman besar kemungkinan terpaksa berehat sepanjang tahun depan ekoran kecederaan yang dialami,'' jelasnya.

Manakala khidmat bekas pemain-pemain skuad Olimpik 2000 iaitu Hairuddin Omar, Mohd. Nafuzi Zain, Faziallah Mamat dan Mohd. Zalghafari Manaf akan teruskan sehingga tahun 2000.

Mengenai kemungkinan skuad Penyu akan mendapat khidmat beberapa pemain luar bagi persiapan musim depan Abdullah berkata, keputusan itu akan ditentukan oleh jurulatih pasukan, Yunus Alif.

''Yunus mungkin akan tengok dulu sama ada perlu mengambil pemain baru untuk Terengganu dan ia bergantung kepada keperluan pada mana-mana posisi,'' tambahnya

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1208&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_08.htm#ixzz4Sidu1Dlx © Utusan Melayu (M) Bhd

Terengganu tempah laluan sukar

ARKIB : 24/11/1999
NAIB juara tahun lalu, Terengganu menempah laluan getir untuk mengulangi kejayaan 1998 dalam bola sepak Piala Malaysia, apabila seri 1-1 dengan Sarawak pada perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, semalam.

Gelanggang sendiri tidak membawa tuah kali ini, malah tuan rumah ketinggalan di minit ke-43 separuh masa pertama menerusi jaringan penyerang Sarawak, Ramles Sari.

Mujur ketua pasukan, Anuar Jusoh berjaya menyamakan kedudukan 13 minit sebelum tamat perlawanan bagi memastikan Terengganu masih mempunyai bekal untuk menghadapi perlawanan ulangan di Stadium Sarawak pada 27 November depan.

Sarawak, yang beraksi dalam separuh akhir kelima selepas 1988, 1993, 1995 dan 1996 semakin hampir untuk melakar sejarah mara ke perlawanan akhir buat kali pertama.

Dengan disaksikan kira-kira 18,000 penonton, perlawanan bermula dengan aksi agak seimbang kedua-dua pasukan biarpun sesekali pasukan pelawat lebih banyak menguasai permainan.

Asakan demi asakan di semua posisi barisan serangan Sarawak ternyata semakin berbisa dengan gandingan dua penyerang mereka, Ramles Sari dan Gilbert Cassidy Gawing yang memaksa penjaga gol Terengganu, Zubir Ibrahim bekerja keras.

Bermula dengan Ramli yang berlegar seperti tidak dikawal dengan senang mengancam kubu lawan terutama pada minit ke-24 babak pertama.

Bagaimanapun dua cubaannya berjaya diselamatkan oleh Zubir.

Selang beberapa minit kemudian, pemain tuan rumah nyaris menerima padah apabila bekas pemain skuad Olimpik, Gilbert membuat rembatan kencang yang terkena palang.

Barisan pemain Terengganu yang seolah-olah terpaku dan hilang konsentrasi sekali lagi hampir diundang padah setelah Gilbert yang melarikan bola dari kawasan tengah padang sebelum melepaskan rejaman namun juga ditepis keluar penjaga gol berpengalaman, Zubir.

Pada minit ke-43, Ramles tidak mensia-siakan peluang hasil pergelutan di depan pintu gol yang menyepak bola terkena kaki Abdul Ghani Malek lalu mencecah jaring Terengganu.

Babak kedua perlawanan bermula. Bagaimanapun aksi pasukan tuan rumah masih tidak banyak berubah dengan penyerangnya, Sapian Wahid gagal memanfaatkan beberapa peluang apatah lagi bila berdepan dengan abang sendiri, penjaga gol Sarawak, Mazlan Wahid.

Begitu juga gerakan Mohd. Noor Derus yang serba tidak menjadi hanya kelihatan kaku dan begitu mudah membiarkan bola dirampas pihak lawan.

Sehinggalah minit ke-77, Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah yang pada mulanya kedengaran dengan laungan herdikan bertukar menjadi gempita apabila Anuar Jusoh menjaringkan gol penyamaan.

Gol terhasil apabila bola muntah dari genggaman Mazlan ekoran tandukan padu adiknya, Sapian.

Jaringan itu juga menyuntik semangat juang Penyu untuk memastikan kekalahan memihak kepada mereka lebih-lebih lagi beraksi di gelanggang sendiri sebelum ke Kuching nanti.

Sekurang-kurangnya, jurulatih pasukan, Yunus Alif mampu bertindak bijak sebelum terlambat menjelang perlawanan timbal balik dengan Sarawak bagi membaiki segala kelemahan.

TERENGGANU: Rosli Omar (Zulharisham Awang), Abd. Ghani Malik, Mohd. Zulfakri Ashaari (Faziallah Mamat), Syamsol Saad, Sapian Abd. Wahid, Hairuddin Omar (Mohd. Rafdi Abd. Rashid), Rosdi Talib, Mohd. Noor Derus, Anuar Jusoh, Badrul Hisham Abdullah, Zubir Ibrahim.

SARAWAK: Mazlan Abd. Wahid, Roslan Mohd. Ismail (Jeffry Lana), Ramles Sari, Bobby Pian, Mohd. Ali Sapiee, Mohd. Dahlan Matussin, Mohd. Zaidil Sakup, Bobby Chua (Johnny Joseph), Ibrahim Mantali, Mohd. Nasri Yunus (Ramos Sari), Gilbert Cassidy Gawing.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1124&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4ShjoNRKG © Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 11 Disember 2016

Perlis perjudikan peluang

ARKIB : 11/11/1999
PEMAIN Perlis, Rozmin Musa dikawal rapi oleh barisan pertahanan Terengganu pada perlawanan bola sepak Piala Malaysia di Kangar kelmarin. Perlis tewas 0-2.

KESEMPATAN di gelanggang sendiri sudah berakhir, sebaliknya Perlis memilih untuk beraksi ''bermati-matian'' dalam saingan terakhir kumpulan A Piala Malaysia menentang juara bertahan, Perak Sabtu ini.

Jurulatih Tajuddin Nor berkata, kemenangan perlu dicari ke atas Perak sekiranya Perlis ingin melangkah ke perlawanan separuh akhir Piala Malaysia selepas tewas 0-2 kepada Terengganu di Stadium Utama, Kangar, kelmarin.

''Kekalahan kepada Terengganu memaksa kita untuk berkunjung ke Perak dengan aksi lebih meyakinkan supaya hajat ke separuh akhir Piala Malaysia tercapai,'' kata beliau selepas berakhir perlawanan di antara pasukan bimbingannya Perlis dengan skuad ''Penyu.''

Tajuddin berkata, Perlis yakin dapat memberikan saingan sengit di Perak untuk mencari kemenangan berdasarkan semangat pemain beraksi di gelanggang lawan sebelum ini.

''Rekod kita di gelanggang lawan baik tetapi lebih penting ialah semangat tinggi daripada pemain untuk menentang lawan seperti ditunjukkan perlu diteruskan bagi menjamin kemenangan,'' kata beliau.

Perak yang kini mengumpul 13 mata memerlukan kemenangan untuk memintas Perlis di samping berharap pasukan Negeri Simbilan yang berkunjung ke Pulau Pinang kalah di Stadium Bandaraya, Sabtu ini.

Mengenai perlawanan kelmarin, Tajuddin memberitahu, Perlis beraksi ''goyah'' dalam separuh masa pertama terutama barisan pertahanannya sehingga membenarkan jaringan Terengganu oleh Hairuddin Omar pada minit ke-24.

''Kesilapannya, tanpa tumpuan penuh, hanya sedikit ruang yang diberikan kepada Hairuddin, menghasilkan jaringan buat pasukan lawan.

''Jaringan diperoleh pula menerusi tandukan ke penjuru gawang yang begitu sukar untuk penjaga gol menyelamatkannya,'' kata beliau.

Bagaimanapun, kata beliau, Perlis bangkit memberi tekanan kepada Terengganu pada babak kedua tetapi barisan serangan gagal mencari penyudah yang diharapkan.

''Perlis mampu bangkit memberikan saingan pada babak kedua, mendapat beberapa peluang tetapi apa boleh buat, kita masih gagal mencuri peluang yang datang.

''Kemudian, jaringan kedua pasukan Penyu pada minit-minit terakhir oleh Hairuddin menyentap hasrat Perlis untuk menyamakan kedudukan kerana masa yang sudah begitu suntuk,'' tambah beliau.

Oleh: ZAINUL AZHAR ASHARI

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1111&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4Sb90fdwq © Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 10 Disember 2016

Giliran Terengganu aibkan Selangor

ARKIB : 17/10/1999
TERENGGANU mengaibkan Selangor dengan kemenangan 3-1 pada perlawanan bola sepak Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, semalam.

Terengganu kini melonjak dari tangga keempat setelah mengumpul sembilan mata daripada perlawanan kelimanya.

Sedangkan Selangor terus dirundung luka parah sesudah dibelasah 0-5 oleh Pulau Pinang di Stadium Bandaraya, minggu lalu.

Kekalahan ketiga Selangor ini turut mengekalkannya di tangga tercorot kumpulan dengan cuma mengutip lima mata.

Pada minit ke-13, Terengganu yang cuba memecahkan kebuntuan melakukan serangan, tetapi nyata gagal membuah hasil apabila rembatan Mat Zahir Wahab pula melepasi palang gol.

Begitupun, gandingan penyerang, Hairuddin Omar dan Sapian Abdul Wahab tidak menghampakan apabila mereka berjaya membolosi gawang Selangor untuk gol pertama pasukan itu.

Hairuddin yang tidak dikawal kemas, mudah melorongkan bola untuk disempurnakan oleh Sapian, sekali gus menewaskan penjaga gol Selangor, Amirrul Zain Ismail.

Pasukan tuan rumah, Selangor bangkit di babak kedua dengan corak permainan lebih agresif dan berjaya mendapatkan gol penyamaan pada minit ke-48.

Usaha ketua pasukan, Zainal Abidin Hassan melakukan hantaran cantik di depan pintu gol nyata tidak sia-sia apabila bola berjaya dirembat masuk oleh Lim Chan Yew.

Pada minit ke-63, K. Sanbagamaran nyaris menambah gol untuk tuan rumah, tetapi hasratnya dinafikan penjaga gol Terengganu, Zubir Ibrahim yang pantas menepis keluar bola rembatannya.

Terengganu yang terus memburu gol akhirnya kembali mendahului menerusi gol kedua jaringan Hairuddin yang menerima hantaran cantik pemain gantian, Rosli Omar pada minit ke-77.

Kedatangan Terengganu ke stadium keramat Selangor itu akhirnya membawa padah apabila pasukan pelawat berjaya meraikan gol ketiga pada minit ke-84 jaringan A. Ganeson selepas berlaku pergelutan di depan pintu gol.

SELANGOR: Amirrul Zain Ismail (1), Shamsul Amri Abu Bakar (3), Mat Zahir Wahab (8) (Fareed Shah Hassan - 7), K. Sanbagamaran (12), Lim Chan Yew (13), Assrof Mohd. Hanafiah (15) (Jaafar Salleh - 25), Kamarulzaman Yop Majid (16), Zainal Abidin Hassan (17), Nazzab Hidzan (18), Paidiya Rau (20), Abdul Rauf Ahmad (21).

TERENGGANU: Roshadi Wahab (2) (Rosli Omar - 3), Abd. Ghani Malik (5), Mohd. Zulfakri Ashaari (6) (Mohd. Rafdi Abd. Rashid - 18), Syamsol Mohd. Saad (7) (Zulharisham Awang - 14), Sapian Abd. Wahab (8), Hairuddin Omar (10), Mohd. Noor Derus (12), Anuar Jusoh (13), A.Ganeson (17), Badrul Hisham Abdullah (20), Zubir Ibrahim (21).

Khamis, 8 Disember 2016

Terengganu, Perak layak

ARKIB : 15/09/1999
TERENGGANU dan Perak mengesahkan tempat ke Piala Malaysia biarpun keputusan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu semalam memihak kepada pasukan pelawat yang menang 2-1 pada perlawanan bola sepak play-off kumpulan B.

Dengan keputusan itu, Perak yang sejak awal cuba mengintai ruang gol lawan akhirnya membuahkan senyuman cukup bermakna untuk mengiringi Terengganu ke Piala Malaysia apabila muncul naib juara kumpulan.

Skuad Penyu yang jelas sudah dikira layak ke pusingan Piala Malaysia biarpun tewas kepada Perak pada perlawanan itu mula menggelabah apabila penyerang berbisa pelawat, V. Saravanan memperoleh gol pada minit pertama pertarungan bermula.

Terengganu pula yang tergamam setelah ketinggalan 0-1 agak kehilangan rentak dan terpaksa berhempas pulas mengatur semula gerakan sebelum sentuhan sebenar ditemui 10 minit kemudian.

Bermula dengan Sapian Wahid yang membuat tandukan bola akhirnya melekat dalam genggaman Zamri disusuli Anuar Jusoh menyepak kencang tetapi tersasar sebelah kanan gol Perak.

Setiba di minit ke-29 babak pertama, Anuar yang dari mula kelaparan gol akhirnya berhasil menyamakan kedudukan dengan menyempurnakan peluang terbuka di depan pintu gol pelawat hasil sepakan percuma dari kawasan tengah padang.

Kedudukan seri 1-1 tidak mematahkan semangat kedua-dua pasukan untuk saling menyerang mencari gol kemenangan sehinggalah ke babak kedua bermula.

Pada minit ke-15 separuh masa kedua apabila penyerangnya, Hairuddin Omar terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan di kepala selepas berlanggar dengan seorang pemain Perak.

Namun nasib sememangnya lebih berpihak kepada Perak apabila seorang lagi bekas penyerang skuad Olimpik 2000, Mohd. Khalid Jamlus ternyata berbisa untuk melengkapkan gol kemenangan buat Perak pada minit 76 sekali gus memastikan pasukannya layak ke Piala Malaysia yang dijadual bermula 25 September ini.


Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0915&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4SGDQjdZ2 © Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 9 November 2016

Kedudukan Hatem semakin terancam

ARKIB : 19/11/1998
EPISOD malang berterusan menimpa skuad bola sepak Olimpik 2000 apabila mengalami dua kekalahan berturut-turut di Kejohanan Piala Kemerdekaan Sri Lanka yang sedang rancak berlangsung.

Dua kekalahan 1-3 kepada India pada perlawanan pertama Ahad lepas dan kelmarin tuan rumah, Sri Lanka pula mengambil giliran mengaibkan skuad remaja negara 1-2, menutup terus peluang untuk mengukir kejayaan layak ke final.

Dua kekalahan ini sekali gus meranapkan impian menggunung jurulatih, Hatem Souissi mahu menebus kehampaan selepas kecaman hebat ekoran persembahan buruk anak buahnya dalam tiga aksi perlawanan persahabatan menentang Thailand baru-baru ini.

Hatem mengharapkan pujian untuk pemainnya kerana mempamerkan peningkatan disebalik kenyataan 18 gol dibolosi apabila mereka dibelasah 0-9, 1-5 dan 2-4 oleh lawan di Thailand.

Apa lagi alasan yang seharusnya difikirkan oleh Hatem buat mempertahankan dirinya dengan kegagalan terbaru skuad Olimpik 2000 negara di Sri Lanka.

Berdepan dengan India dan Sri Lanka, bukan salah satu kuasa mutlak bola sepak di rantau Asia berbanding dengan persiapan rapi anak buah Hatem, menjelaskan ada sesuatu yang tidak kena kepada skuad Olimpik negara.

Kekakalahan itu terus menimbulkan kesangsian keupayaan sebenar skuad negara yang akan mengharungi pusingan kelayakan Olimpik 2000, Jun tahun depan bersama-sama Jepun, Nepal dan Hong Kong.

Tanpa sebarang kejayaan manis yang dirintis oleh jurulatih berasal dari Tunisia itu sejak mengemudi skuad ini tiga tahun lalu, FAM tidak lagi seharusnya berselindung dengan hakikat kelompok pemain kini sudah melupakan matlamat asal penubuhan skuad ini untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2000 di Sydney.

Kehadiran empat pemain yang menimba pengalaman sebulan bersama kelab Liga Perdana Inggeris, Arsenal terdiri daripada Tengku Hazman Raja Hassan, Das Gregory, R. Nanthakumar dan Hairuddin Omar juga tidak mampu menceriakan skuad negara.

Sebelum ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi Timbalan Presidennya memberi amaran kepada Hatem untuk menghasilkan keputusan terbaik di Sri Lanka jika tidak mahu kedudukannya sebagai jurulatih terancam.

Malah FAM juga akan mengkaji semula kedudukan Hatem selaku jurulatih skuad Olimpik sejak memegang jawatan itu tiga tahun lalu selepas kejohanan ini.

Penolong jurulatih B. Sathianathan ketika dihubungi di Sri Lanka semalam ketika diminta mengulas mengenai dua kekalahan itu berkata: ''Kealpaan benteng pertahanan menjadi punca kita tewas dalam dua perlawanan itu.''

Tambah Sathianathan lagi, dalam dua perlawanan menentang India dan Sri Lanka, pemain negara menguasai babak dan mencipta gol awal mendahului lawan.

Pemain pertahanan, Rauf Ahmad membuka tirai jaringan ketika menentang India dan Chow Chee Weng pula bertemu Sri Lanka, tetapi benteng pertahanan yang dikemudi oleh S. Jayaprakash, M. Gopalan, Yuzaiman Zahari, Fazialah Mamat dan Nik Ahmad Fadly Nik Leh rapuh membolehkan lawan mencipta jaringan mudah.

''Semua gol yang dicipta oleh lawan jelas adalah hasil kesilapan sendiri. Mereka sebenarnya berusaha untuk menang namun segalanya tidak menjadi.''

Jelas Sathianathan lagi, jentera serangan yang dikemudi oleh Chee Weng dan Jaafar Salleh juga jelas tumpul.

Hari ini skuad Hatem akan mengharungi perlawanan terakhir menentang Maldives buat melengkapkan jadual yang sudah diatur.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1119&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4PV7IJnJU © Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 13 September 2016

Skuad negara masih gementar

ARKIB : 03/08/1998
JURULATIH negara, Hatem Souissi menganggap skuad bawah 19 tahun negara berada dalam keadaan gementar dan tidak berkeyakinan ketika perlawanan pembukaan kelayakan kumpulan 7 Bola Sepak Bawah 19 tahun Asia di Stadium Larkin, Johor Bahru, malam kelmarin, lapor ISHAK SALLEH.

Katanya, pemain-pemain muda negara tidak menunjukkan persembahan seperti yang diharapkan terutama pada separuh masa pertama.

Hatem memberitahu, ini mungkin mereka merasa takut kerana menentang Laos merupakan perlawanan pertama yang ditempuhi pada peringkat antarabangsa.

''Separuh masa kedua menyaksikan pemain-pemain negara mulai bekeyakinan dan dapat bergerak serta mengatur serangan ke kubu lawan.

''Sekiranya persembahan sebagaimana separuh masa kedua menentang Laos itu dapat dikekal serta diperbaiki, peluang untuk mencipta kemenangan ke atas Singapura, malam ini, cukup cerah.

Kelmarin Malaysia menewaskan Laos 4-0 dengan salah satu daripada gol tersebut adalah jaringan sendiri pemain pertahanan Laos, Kholadesh Phonphachanh pada minit ke-35.

Tiga lagi gol dijaringkan oleh ketua pasukan, Hairuddin Omar pada minit ke-69, Akmal Rizal Ahmad Rakhil (82) dan Mahathir Mohd. Jamal Mohd. (90).

Hatem mengakui dua daripada pemainnya menunjukkan permainan yang cemerlang iaitu S. Jayaprakash dan R. Nanthakumar yang banyak menimba pengalaman menerusi Liga Perdana.

''Saya yakin, pemain kami kini mempunyai semangat yang lebih tinggi untuk menghadapi Singapura.

''Bagaimanapun, mereka juga perlu berhati-hati dan apa yang penting ialah mencapai kemenangan untuk negara,'' tambah Hatem lagi.

Sementara itu, pengurus pasukan Singapura, Colin Chee berkata, aksi China kelmarin memaparkan mutu permainan yang terbaik dan sukar bagi pasukan lain untuk menewaskan mereka.

Katanya, setelah melihat kehancuran pasukannya diperbudakkan China 0-5, tidak mustahil jika pasukan Tembok Besar itu menempah tempat ke pusingan akhir di Chiang Mai, Thailand, Oktober depan.

Chee tidak meramalkan apa-apa dalam perlawanan Malaysia-Singapura, malam ini sebaliknya membuat andaian jika Malaysia mahu mencatatkan kejayaan, mereka perlu mencipta jaringan awal.

Dia yakin, Malaysia akan berjuang habis-habisan untuk menang sekali gus mara menentang China pada perlawanan terakhir bagi menentukan johan kumpulan dan layak ke pusingan akhir di Thailand.

Bagi jurulatih China, Chen Jingang, aksi beberapa pemainnya kelmarin melangkaui tahap sebenar yang diharapkan.

Katanya, China lebih teratur serta mempunyai pertahanan yang baik tetapi tidak menolak kemungkinan bahawa dalam perlawanan bola sepak, apa sahaja boleh berlaku.

Sementara jurulatih Laos, Vangchai Muangmany berkata, pasukannya tiba ke sini tanpa persiapan yang cukup dan keadaan itu menyebabkan mereka serba kekurangan.

Katanya, apa yang Laos mampu lakukan kini ialah menggunakan semua tenaga pemain yang ada secara maksimum serta memberikan tentangan sedaya mungkin.

JADUAL HARI INI
7.45 malam _ China lwn Laos; 9.30 malam _ Malaysia lwn Singapura

(Semua perlawanan di Stadium Larkin, Johor Bahru)

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0803&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4KCsRkbf9 © Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 29 Julai 2016

Olimpik lepas peluang

ARKIB : 05/04/1998
KELEBIHAN bermain di gelanggang sendiri kali ini tidak memihak kepada Olimpik 2000 apabila seri 0-0 dengan Brunei pada perlawanan pembukaan bola sepak Perdana Satu di Stadium Merdeka, malam tadi, lapor AMRAN MULUP.

Keputusan itu meneruskan episod malang Olimpik yang tewas pada dua perlawanan di gelanggang sendiri kepada Pulau Pinang dan Melaka dengan 1-0 pada pusingan kelayakan ke Perdana Satu, bulan lepas

Namun, perlawanan malam tadi sepatutnya menjadi milik mutlak Olimpik tetapi nasib sahaja tidak memihak dengan empat peluang yang pastinya menggegar gawang lawan.

Chow Chee Weng terlepas dua peluang pada minit ke-49 dan 57 manakala setiap satu menerusi Azmir Nor Hakim Burhan (19) dan Hairun Haled Masrom (70).

Bagaimanapun, perlawanan dicemari aksi kasar pemain Brunei ke atas Olimpik sehingga memaksa pemain pertahanan, Yuzaiman Zahari diusung keluar padang akibat kecederaan di hidung.

Brunei memulakan rentak dengan garang tetapi penjaga gol Olimpik, Jamsari Sabian bijak menangkap kemas tandukan kencang Mohd. Brian Bothwell Abdullah mini ke-7 dan Rafael Patron Akapo (12).

Pada minit ke-19, tuan rumah bangkit cuba mengimbangi lawan, namun Azmir terlepas peluang terbaik mencipta jaringan awal.

Bermula dengan tipu helah ke atas Suni Mat Jerah, Azmir tangkas berlari berseorangan tetapi dia gopoh bila melakukan sepakan liar ke gawang lawan.

Pada minit ke-27, Gilbert Cassedy nyaris-nyaris meletakkan Olimpik di depan apabila sepakan percumanya dari luar kotak penalti sekadar menyinggahi palang gol.

Empat minit selepas babak kedua bermula Olimpik 2000 sekali lagi dihampakan dengan sepakan lemah Chow Chee Weng mudah ke dakapan Mohamad Yunus selepas mendapat umpanan cantik Azmir.

Chee Weng hampa buat kali kedua pada minit ke-57 biarpun berjaya melepasi kawalan Zannoun Farouk Al-Hassan tetapi dia melakukan rembatan liar melewati palang gol.

Pada minit ke-66, kesilapan pemain pertahanan S. Jayaprakash gagal menanduk kemas bola hantaran ke belakang nyaris membawa padah tetapi lega kegopohan penyerang veteran pelawat, Rosanan Samak menyepak liar dalam keadaan pintu gol tidak dikawal.

OLIMPIK 2000: Jamsari Sabian, Nik Ahmad Fadly Nik Leh, Johnny Joseph, Chia Ching Kar, S. Jayaprakash, Azmir Nor Hakim, Chow Chee Weng (Hairuddin Omar), Lim Chan Yew, Gilbert Cassedy (M. Gopalan), Tengku Hazman Raja Hassan, Yuzaiman Zahari (Hairun Haled Masrom).

BRUNEI: Mohamad Yunus Yusof, Martilu Mohamad (Awangku Sallehuddin), Rosli Liman, Liew Chuan Yew, Md Brian Abdullah Bothwell, Azmanuddin Gillen, Rosanan Samak (Johan Jinin), Rafael Patron Akapo, Suni Mat Jerah (Nordin Tujoh), Irwan Mohamad, Zannoun Farouk Al-Hassan.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0405&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4FrTFU5r6

© Utusan Melayu (M) Bhd