Ahad, 18 Disember 2016

Andai Kelantan tarik diri, pemain berdepan kesukaran

SABTU, 17 DISEMBER 2016 @ 3:31 PM
Oleh Azidan Nahar azidan@bh.com.my Hairuddin Omar
 
 KUALA LUMPUR: Pemain Kelantan akan berdepan masalah besar sekiranya pasukan itu tetap dengan keputusan menarik diri daripada saingan Liga Malaysia (Liga M), musim depan jika tiada penyelesaian dapat dilakukan secepat mungkin.

Presiden Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), Hairuddin Omar berkata, jika pemain Kelantan mahu berpindah ke pasukan lain, pelbagai perkara perlu diselesaikan termasuk berkaitan kontrak.

"Kebanyakan pasukan yang bermain dalam liga ketika ini sudah (ada senarai) penuh (pemain). Kalau ada pun kosong ia hanya pasukan biasa-biasa saja," katanya ketika dihubungi BH Online, sebentar tadi. Semalam, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) memutuskan untuk menarik diri kerana tidak mampu menyediakan dana yang mencukupi untuk pengurusan skuad Kelantan dalam menghadapi saingan Liga M musim 2017.

Setiausaha KAFA , Datuk Ismail Md Noor, berkata mesyuarat khas EXCO KAFA yang diadakan kelmarin sudah mengambil kata sepakat bahawa Kelantan tidak mampu dan terpaksa menarik diri pada musim hadapan. Bagaimanapun katanya, keputusan terakhir akan dibuat menerusi kongres luar biasa yang diadakan pada 29 Disember nanti sekiranya berlaku keajaiban hingga mengubah keputusan asal.

Hairuddin menjelaskan, pihak yang mahu mengambil pemain Kelantan juga perlu menyelesaikan masalah kontrak yang mungkin masih berbaki dengan pasukan lama dan itu akan turut menimbulkan banyak masalah. Katanya, jika Kelantan mahu meminjamkan pemain mereka kepada pasukan lain, masih wujud masalah kerana pasukan lain juga sudah cukup pemain dan ia juga membabitkan kos lain seperti gaji dan sebagainya.

 Berikutan itu, menurut Hairuddin, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan pengendali Liga Malaysia, Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) perlu mencari penyelesaian segera.

"Saya positif masalah ini sedang diuruskan sedaya upaya oleh pihak terbabit. "Mereka perlu buat apa saja kerana adalah satu kerugian pada pemain dan pasukan kerana pasukan Kelantan ada penonton yang ramai, kemeriahan Liga M akan hilang jika tiada pasukan Kelantan," katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Hairuddin menasihatkan pemain supaya meneruskan latihan seperti biasa kerana penyelesaian kepada perkara itu masih belum diputuskan. "Jika Kelantan menarik diri, mereka perlukan masa yang lama untuk kembali ke tahap seperti ini. Mungkin tiga hingga empat tahun, kerana itu semua pihak perlu mencari penyelesaian terbaik.

"Jika pasukan Kelantan perlu berhutang, mereka perlu melakukannya kerana bagi saya pasukan ini tidak boleh menarik diri kerana kesannya amat besar bukan saja kepada pemain tetapi kepada bola sepak Malaysia secara keseluruhan," katanya


Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/224704

Tiada ulasan:

Catat Ulasan