Selasa, 13 Disember 2016

Penyu gugur 4 pemain musim baru

ARKIB : 08/12/1999
SKUAD Penyu akan turun gelanggang untuk Liga Perdana dan Piala Malaysia musim depan tanpa empat pemainnya iaitu Tay Sin Kiat, Baharuddin Ali, Badrul Afzan Razali dan Wan Ahmad Ridzuan Hussin, lapor RADHUAN HUSSAIN.

Tay dan Baharuddin tidak disenaraikan dalam skuad disebabkan mereka telah habis tempoh bersama Terengganu malah mereka tidak berhasrat menyambung kontrak.

Sementara dua lagi pemain, Badrul Afzan dan Wan Ahmad Ridzuan telah menyatakan hasrat mereka untuk tidak lagi bersama Penyu biarpun kontrak mereka masih ada setahun lagi.

Setiausaha Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Abdullah Salleh ketika mengesahkan perkara itu berkata, perkembangan mengenainya diketahui pada majlis perjumpaan dari hati ke hati antara pegawai dan pemain yang berlangsung Ahad lalu.

''Sementara lain-lain pemain kekal dalam senarai termasuklah Sapian Wahid yang mengambil keputusan menyambung kontrak untuk setahun lagi. Kontrak Sapian sepatutnya tamat pada 31 Disember ini,'' katanya di Kuala Terengganu semalam.

Lain-lain ialah Zulharisan Awang, Syamsol Saad, Mohd. Noor Derus, Badrul Hisham Abdullah, Zubir Ibrahim, Rosli Omar dan A. Ganeson.

Sementara kedudukan Azman Ismail yang kini sedang menjalani pembedahan hanya akan dapat ditentukan kemudian sebaik sahaja diputuskan oleh doktor.

''Apa yang diberitahu oleh doktor setakat ini, Azman besar kemungkinan terpaksa berehat sepanjang tahun depan ekoran kecederaan yang dialami,'' jelasnya.

Manakala khidmat bekas pemain-pemain skuad Olimpik 2000 iaitu Hairuddin Omar, Mohd. Nafuzi Zain, Faziallah Mamat dan Mohd. Zalghafari Manaf akan teruskan sehingga tahun 2000.

Mengenai kemungkinan skuad Penyu akan mendapat khidmat beberapa pemain luar bagi persiapan musim depan Abdullah berkata, keputusan itu akan ditentukan oleh jurulatih pasukan, Yunus Alif.

''Yunus mungkin akan tengok dulu sama ada perlu mengambil pemain baru untuk Terengganu dan ia bergantung kepada keperluan pada mana-mana posisi,'' tambahnya

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1208&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_08.htm#ixzz4Sidu1Dlx © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan