Ahad, 11 Disember 2016

Perlis perjudikan peluang

ARKIB : 11/11/1999
PEMAIN Perlis, Rozmin Musa dikawal rapi oleh barisan pertahanan Terengganu pada perlawanan bola sepak Piala Malaysia di Kangar kelmarin. Perlis tewas 0-2.

KESEMPATAN di gelanggang sendiri sudah berakhir, sebaliknya Perlis memilih untuk beraksi ''bermati-matian'' dalam saingan terakhir kumpulan A Piala Malaysia menentang juara bertahan, Perak Sabtu ini.

Jurulatih Tajuddin Nor berkata, kemenangan perlu dicari ke atas Perak sekiranya Perlis ingin melangkah ke perlawanan separuh akhir Piala Malaysia selepas tewas 0-2 kepada Terengganu di Stadium Utama, Kangar, kelmarin.

''Kekalahan kepada Terengganu memaksa kita untuk berkunjung ke Perak dengan aksi lebih meyakinkan supaya hajat ke separuh akhir Piala Malaysia tercapai,'' kata beliau selepas berakhir perlawanan di antara pasukan bimbingannya Perlis dengan skuad ''Penyu.''

Tajuddin berkata, Perlis yakin dapat memberikan saingan sengit di Perak untuk mencari kemenangan berdasarkan semangat pemain beraksi di gelanggang lawan sebelum ini.

''Rekod kita di gelanggang lawan baik tetapi lebih penting ialah semangat tinggi daripada pemain untuk menentang lawan seperti ditunjukkan perlu diteruskan bagi menjamin kemenangan,'' kata beliau.

Perak yang kini mengumpul 13 mata memerlukan kemenangan untuk memintas Perlis di samping berharap pasukan Negeri Simbilan yang berkunjung ke Pulau Pinang kalah di Stadium Bandaraya, Sabtu ini.

Mengenai perlawanan kelmarin, Tajuddin memberitahu, Perlis beraksi ''goyah'' dalam separuh masa pertama terutama barisan pertahanannya sehingga membenarkan jaringan Terengganu oleh Hairuddin Omar pada minit ke-24.

''Kesilapannya, tanpa tumpuan penuh, hanya sedikit ruang yang diberikan kepada Hairuddin, menghasilkan jaringan buat pasukan lawan.

''Jaringan diperoleh pula menerusi tandukan ke penjuru gawang yang begitu sukar untuk penjaga gol menyelamatkannya,'' kata beliau.

Bagaimanapun, kata beliau, Perlis bangkit memberi tekanan kepada Terengganu pada babak kedua tetapi barisan serangan gagal mencari penyudah yang diharapkan.

''Perlis mampu bangkit memberikan saingan pada babak kedua, mendapat beberapa peluang tetapi apa boleh buat, kita masih gagal mencuri peluang yang datang.

''Kemudian, jaringan kedua pasukan Penyu pada minit-minit terakhir oleh Hairuddin menyentap hasrat Perlis untuk menyamakan kedudukan kerana masa yang sudah begitu suntuk,'' tambah beliau.

Oleh: ZAINUL AZHAR ASHARI

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1111&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4Sb90fdwq © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan