Sabtu, 31 Disember 2016

PFAM BIDAS KENYATAAN ANNUAR

Oleh MUHD. ARDIE PUTRA SUHAIMI
HAIRUDDIN

PRESIDEN Persatuan Pemain-Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), Hairuddin Omar membidas kenyataan Tan Sri Annuar Musa yang sebelum ini mempersoalkan tugas badan bukan kerajaan (NGO) itu dalam memperjuangkan hak pemain khususnya melibatkan soal tunggakan gaji.

Sebagai rekod, bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) itu menerusi entri Facebook pada 29 Disember lepas mengkritik PFAM yang hanya tahu memberi ulasan tetapi tidak pernah menjalankan tugas untuk mempertingkatkan tahap profesionalisme pemain dalam kancah Liga Malaysia (Liga M).

Namun, Hairuddin yang juga merupakan bekas pemain kebangsaan menjelaskan PFAM tidak berniat untuk mencampuri pengurusan persatuan bola sepak tetapi akan memberi ulasan sekiranya mereka menerima laporan daripada para pemain (ahli PFAM) yang meminta bantuan bagi menyelesaikan masalah mereka terutama melibatkan soal gaji.

“Kami telah mencari jalan penyelesaian tetapi tetap menemui jalan buntu kerana persatuan yang diwakili pemain terbabit seolah-olah tidak serius dalam usaha menyelesaikan masalah tunggakan gaji. Situasi seperti ini amat mengecewakan kami.

“Jawapan yang selalu kami terima daripada persatuan yang mengalami masalah ini ialah ketiadaan dana, menunggu duit penaja dan lain-lain. Namun, ironinya pasukan-pasukan yang terus berhutang ini masih ligat merekrut pemain-pemain baharu sebagai persiapan menjelang aksi Liga M musim depan,” kata Hairuddin semalam.

Dalam perkembangan sama, bekas pemain kebangsaan yang berasal dari Terengganu itu turut berpendapat bahawa Annuar mencari jalan singkat dengan menyalahkan PFAM berbanding menyelesaikan masalah yang dialami oleh KAFA bersama bekas dan barisan pemainnya yang difahamkan masih belum menerima gaji untuk saingan musim lepas.

“Kami akui ada segelintir pemain yang menghadapi masalah tetapi secara keseluruhan mentaliti dan profesionalisme barisan pemain kini sudah semakin baik. Namun, situasi berbeza buat pihak pengurusan pasukan yang dilihat masih kurang profesional dan matang.

“Kami percaya persatuan masih berada di takuk lama kerana isu yang berlaku pula ialah isu yang sama setiap tahun. Malah, ketika kita ke arah penswastaan liga, kebanyakan pasukan masih belum bersedia untuk keluar daripada zon selesa dan yang menjadi mangsa ialah pemain,” jelasnya lagi.

Sementara itu, Hairuddin juga menyatakan sokongan penuh kepada Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail yang telah menjalankan tugas dengan cemerlang sejak PFAM ditubuhkan lebih dua tahun lalu.

“Apa yang pasti, sebagai sebuah persatuan yang mewakili pemain, kami sememangnya mengambil serius perkara-perkara yang mendatangkan masalah kepada mereka (pemain). Bola sepak merupakan punca rezeki pemain dan kami akan terus berjuang demi keadilan,” ujarnya.

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0101&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4USyfmkOu Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan