Ahad, 18 Disember 2016

Terengganu mungkin guna dua pemain Piala Presiden

ARKIB : 10/04/2000
TERENGGANU mungkin menggunakan khidmat dua pemain pasukan Liga Simpanan bagi memantapkan pasukan menghadapi Pahang pada peringkat suku akhir bola sepak Piala FA di Kuantan, Selasa ini.

Pemain berkenaan ialah Alfian Aziz dan Ahmad Tahrin Yusof, kata Setiausaha Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu, Abdullah Salleh kepada Bernama, semalam.

Beliau berkata, Terengganu memerlukan tenaga kedua-dua pemain penyerang itu berikutan Hairuddin Omar dan Khairul Anua Karim cedera dan mungkin tidak diturunkan dalam pertemuan itu.

Abdullah berkata Alfian dan Ahmad Tahrin telah bermain dengan cemerlang ketika Terengganu mengadakan perlawanan persahabatan di selatan Thailand baru-baru ini.

''Kita yakin Alfian dan Ahmad Tahrin akan dapat membantu Terengganu dalam pertemuan dengan Pahang nanti,'' katanya.

Pertemuan kedua peringkat suku akhir antara kedua-dua pasukan itu akan diadakan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada 25 April ini.

Abdullah berkata, Terengganu juga mungkin tidak dapat menggunakan khidmat pemain pertahanan Ghani Malik dan Rosdi Talib kerana kedua-dua pemain itu mewakili pasukan kebangsaan di pertandingan Piala Asia di Bangkok.

Beliau berkata, Terengganu akan menurunkan barisan terbaik bagi memastikan ia tidak kecundang di Kuantan nanti.

''Kita (Terengganu) akan turun sebagai underdog dan akan memberikan tentangan sengit kepada pasukan Pahang,'' katanya.

Abdullah berkata, pemain-pemain Terengganu juga dinasihatkan bermain dengan penuh semangat dan dedikasi supaya mereka tidak dipermudahkan oleh Pahang. ''Matlamat kita ialah untuk sekali lagi memasuki pertandingan akhir Piala FA musim ini,'' katanya. - Bernama

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0410&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4TFy30sOy © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan