Khamis, 16 Mac 2017

Hairuddin, Akmal ditugaskan untuk menggempur



ARKIB : 11/03/2001
HONG KONG - Allan Harris akan terus bergantung kepada gandingan Hairuddin Omar dan pemain sensasi, Akmal Rizal Ahmad Rakhli untuk tugas menggempur kubu lawan pada kejohanan bola sepak kelayakan Piala Dunia.

Gandingan Hairuddin-Akmal, menurut jurulatih kebangsaan dari England itu, semakin serasi selpas dua perlawanan - kalah 5-1 kepada Qatar dan menang 2-0 ke atas Hong Kong.

Hairuddin, dari Terengganu, mendapat pujian selaku pemain paling rajin dalam setiap perlawanan.

``Istimewanya Hairuddin ialah dia pemain yang bekerja kuat dan juga boleh bergerak di bahagian tengah,'' kata Harris semalam.

Pemain berusia 22 tahun itu telah melakukan tugasnya dengan baik selaku rakan yang mengumpan bola ke kubu lawan untuk Akmal melakukan penyudah.

Gol pertama skuad negara ketika menang ke atas tuan rumah tiga hari lepas juga atas bantuan Hairuddin yang membuat umpanan tepat kepada Akmal dari tengah. Akmal turut menjaringkan gol kedua.

Menurut Harris lagi, Akmal, 19, yang menjalani latihan di Perancis, adalah aset besar kepada bola sepak negara dan kini mula dihormati selaku penyerang berbahaya oleh rakan-rakan sepasukannya.

``Akmal adalah aset Malaysia. Dia penyerang yang bagus dan mengambil peluang dengan tepat. Dia mungkin kurang hebat mengawal bola di tengah padang tetapi keistimewaannya ialah apabila berada di kawasan gol,'' jelas Harris.

Katanya lagi, dia kini lebih yakin dengan gandingan dua pemain itu dan Harris tidak mungkin bertukar kepada yang lain kecuali sesuatu yang tidak dijangka berlaku.

``Sekarang saya lebih suka dengan gandingan Hairuddin dan Akmal. Mereka telah menunjukkan persefahaman yang baik setakat ini,'' katanya.

Jika gandingan yang ada sekarang dikekalkan, bermakna penyerang paling senior, Rusdi Suparman perlu berusaha lebih keras untuk merampas semula tempatnya.

``Saya berasa simpati ke atas Rusdi kerana keadaan ini. Bagaimanapun, ini tidak bermakna dia sudah diketepikan kerana dia masih antara yang terbaik yang kita ada,'' kata Harris.

Rusdi tidak diturunkan dalam perlawanan pertama menentang Qatar tetapi beraksi pada babak kedua ketika Malaysia bertemu tuan rumah tiga hari lepas.

Menurut Harris, dia mengeluarkan pemain tengah, Anuar Jusoh untuk memasukkan Rusdi dalam pertemuan dengan Hong Kong untuk mematikan rentak permainan lawan selepas Malaysia mendahului 1-0.

Langkah Harris berhasil apabila lawan nampak keliru siapa yang perlu dikawal dan hasilnya, Akmal menjaringkan gol kedua. - Utusan

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0311&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4bUDJdwkA© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan