Khamis, 30 Mac 2017

Hairuddin harap FMLLP serius



Desak pemotongan mata dikuatkuasakan sebagai amaran agar tidak berlaku kes gaji tertunggak
Fadhilul Izmel Ishak

30 Mac 2017 12:18 AM
KUALA LUMPUR 29 Mac - Persatuan Pemain Bola sepak Profesional Malaysia (PFAM) memberitahu sebanyak lima pasukan masih terlibat dengan masalah tunggakan gaji tetapi tidak pasti sama ada mereka adalah pasukan yang dimaksudkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Football Malaysia Li­mited Liability Partnership (FMLLP), Kevin Ramalingam.

Presiden PFAM, Hairuddin Omar turut mendedahkan empat bekas pemain import Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan seorang bekas pemain Kelantan telah membuat laporan kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengenai isu tunggakan gaji mereka.

“PFAM telah menerima laporan daripada pemain Se­langor, Kelantan, ATM, Sabah DYS dan Kuantan FA mengenai masalah tunggakan gaji mereka, bagaimanapun saya tidak pasti sama ada mereka antara enam pasukan yang dimaksudkan oleh Kevin.

“PFAM telah membawa kes mereka kepada Jawatankuasa Status Pemain FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) untuk tindakan selanjutnya.

“Saya juga ingin mengesahkan bahawa empat bekas pemain import ATM iaitu Abdulafees (Abdulsalam), Mario Karlovic, Jerry Palacios dan Obinna Nwaneri serta seorang bekas pemain Kelantan, Jonathan McKain telah membuat laporan kepada FIFA berkenaan isu tunggakan gaji mereka ketika bersama pasukan masing-masing.

“PFAM mewakili Abdulafess, Mario dan McKain untuk membawa kes mereka kepada FIFA manakala Jerry dan Obinna diwakili oleh ejen mereka masing-masing. ATM bukan saja tertunggak membayar gaji pemain import tetapi pemain tempatan juga.

“Laporan terkini yang kami terima daripada FIFA mengatakan kes itu sudah pun berada di peringkat akhir untuk diambil tindakan dan saya amat berharap agar kes ini dapat diselesaikan segera kerana masalah ini memberi imej buruk kepada bola sepak di negara ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Hairuddin berkata demikian bagi mengulas isu enam pasukan yang tidak membayar gaji pemain seperti didedahkan oleh Kevin yang tidak menamakan pasukan-pasukan itu.

Dalam pada itu, bekas pe­nyerang kebangsaan itu menuntut agar hukuman setimpal dikenakan terhadap pasukan yang gagal membayar gaji pemain, termasuk memotong mata dikenakan untuk memastikan pasukan mengambil serius masala itu.

“Memang sepatutnya tindakan tegas dikenakan kepada pasukan yang terbabit seperti dikenakan pemotongan mata. Hari ini kita dengar kes seperti ini dan harap FMLLP dan FAM dapat mengambil tindakan tegas dan bukannya sekadar bercakap sahaja.

“Sebelum ini, FAM banyak berlembut dalam hal ini dengan memberi masa tetapi berlarutan bertahun-tahun. Saya harap di bawah pimpinan baharu, Tunku Ismail Sultan Ibrahim akan bertegas dalam menangani isu ini. PFAM juga harap kes Kelantan dan ATM dapat diselesaikan oleh FAM.

“Saya percaya Tunku Ismail sentiasa mengambil berat terhadap kebajikan pemain dan yakin beliau akan memastikan masalah seperti ini tidak akan terjadi lagi pada masa akan datang,” kata­nya

sumberArtikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/hairuddin-harap-fmllp-serius-1.463437#ixzz4cnkScCEo© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan