Sabtu, 11 Mac 2017

Pertarungan maruah -- Temu Vietnam hari ini


 

ARKIB : 05/11/2000
EMPAT pemain Malaysia, (dari kiri) Hairuddin Omar, Rusdi Suparman, Bobby Pian dan Rosdi Talib berjalan pulang ke hotel penginapan dalam hujan yang turun sejak pagi di Songkhla semalam. Hujan lebat juga memaksa beberapa sesi latihan menjelang Kejohanan Bola Sepak Piala Tiger dibatalkan.

SONGKHLA - Empat perlawanan perlu ditempuhi Malaysia dalam kumpulan B Kejohanan Bola Sepak Piala Tiger 2000 tetapi saingan pertama sahaja bagaikan suatu 'penentuan' buat skuad negara yang akan berdepan Vietnam di Stadium Tinsulanon, di sini, hari ini.

Ini kerana Vietnam merupakan 'musuh' utama Malaysia yang perlu dibereskan terlebih dahulu sebelum menghadapi sebuah lagi pasukan pilihan iaitu Singapura pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan iaitu pada 13 November 2000.

Skuad negara diletakkan bersama-sama Vietnam, Singapura, Kemboja dan Laos dalam kumpulan berkenaan manakala pasukan pilihan Thailand, Indonesia, Myanmar dan Filipina bersaing bagi kumpulan A di Chiang Mai.

Apa yang menarik tentang pertemuan Malaysia dengan Vietnam ialah sejarah terdahulu menyingkap betapa sukarnya pasukan negara setiap kali berdepan pasukan 'Indo- China' itu.

Malaysia pernah menang 1-0 dengan Vietnam di Sukan SEA Chieng Mai pada 1995 tetapi kemudian tewas menerusi keputusan sama pada Sukan SEA Jakarta 1997.

Bagaimanapun, pertarungan kali ini berbeza baik dari segi kejohanan mahu pun persiapan kedua-dua pasukan yang pastinya menurunkan barisan terbaik.

Penyerang berpengalaman, Azman Adnan dan muka baru Hairuddin Omar dan Jaafar Salleh menjadi sandaran Malaysia untuk berganding dengan barisan sedia ada manakala Vietnam menimba pengalaman menerusi perlawanan-perlawanan ujian di Perancis selama tiga minggu.

Dalam perlawanan hari ini, kemenangan perlu dicari pasukan Malaysia supaya perjalanan panjang yang akan lebih mudah ditempuhi di samping membakar semangat pemain.

Ternyata, barisan diadun oleh jurulatih kebangsaan, Abdul Rahman Ibrahim adalah yang paling baik, malah mampu untuk mencapai sasaran ke separuh akhir sekiranya menempa berjaya menyekat Vietnam.

Dengan Azman dan Rusdi Suparman di sandarkan harapan tinggi di barisan depan untuk memburu jaringan, Malaysia juga kebal di benteng pertahanan yang dikemudikan B. Rajnikandh, Khairil Zainal dan Abdul Ghani Malik.

Sementara, penjaga gawang juga memberi Abdul Rahman banyak pilihan berdasarkan kemampuan ditunjukkan Kamarulzaman Hassan dan Azmin Azram Abdul Aziz.

Selain berusaha mencerahkan peluang ke separuh akhir di Bangkok 16 November ini, aksi skuad negara menentang Vietnam jelas menarik perhatian seluruh peminat bola sepak di tanah air.

Jelas, perlawanan pembuka tirai kumpulan itu lebih kepada pertemuan mengangkat maruah negara sejak Malaysia pernah tewas kepada pasukan kurang ternama termasuk Laos.

Pastinya, tidak ada yang lebih penting melainkan tumpuan diberikan kepada perlawanan hari ini untuk peminat mengukur sejauh mana kemampuan skuad negara.

Persoalan apakah skuad negara boleh melangkah jauh dalam kejohanan tersebut, hanya akan terjawab apabila berakhir pertemuan yang dijangka menarik hari ini.

Barisan kemungkinan:
Kamaruzaman Hassan, B. Rajnikandh, Abdul Ghani Malik, Leong Hong Seng, Khairil Zainal, Mohd. Anuar Jusoh, Ahmad Shahrul Azhar, Ahmad Sharuddin Rosdi, Jaafar Salleh, Azman Adnan, Rusdi Suparman. - Utusan.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=1105&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4b5yzvBqc © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan