Isnin, 26 Jun 2017

Pahang atau Perlis?



ARKIB : 20/05/2006
Oleh: AMRAN MULUP
SEDIA untuk bertarung...Ketua pasukan Perlis, Mohd. Feriza Ismail (kiri) berlaga tangan dengan ketua pasukan Pahang, Hairuddin Omar menjelang perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, malam ini.

KUALA LUMPUR - Episod duka Pahang pada 1995 manakala Perlis pada 2003 sekadar bergelar naib juara bakal mencetuskan persaingan hebat untuk bergelar juara pertama pada perlawanan akhir bola sepak Piala FA di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini.

Penampilan kedua-dua pasukan yang malap di saingan Liga Super menjadikan buruan bergelar juara edisi ke-16 penting kerana ini saja peluang yang ada untuk menarik kembali penyokong setia kedua-dua pasukan.

Selain itu Perlis dan Pahang mahu memahatkan carta penyandang juara sebaris dengan Selangor, Perak, Negeri Sembilan, Sabah, kedah, Sarawak, Kuala Lumpur, Terengganu dan Pulau Pinang yang pernah mendakap gelaran juara.

Biarpun menjelang pusingan akhir Piala Dunia di Jerman bulan depan menenggelamkan seketika reputasi babak final Piala FA malam ini, namun buat Perlis dan Pahang keazaman untuk dinobatkan selaku juara begitu tinggi.

Sama kuat dan sama handal buat Perlis atau Pahang jelas sukar untuk meramalkan pasukan mana yang tampak ampuh untuk menang.

Hanya tempoh 90 minit bakal menjadi penentu biarpun atas kertas kelebihan memihak kepada Perlis sewaktu di Liga Super.

Daripada tiga pertemuan Pahang tewas sekali kepada Perlis dengan jaringan 1-0 manakala dua lagi aksi berkesudahan seri 1-1.

Namun aksi di babak final jelas berubah nada dan gelanggang berkecuali menjadikan pertembungan dramatik menjadi tumpuan peminat bola sepak.

Jurulatih Pahang, Zainal Abidin Hasan berkata, beliau tetap yakin dengan kemampuan kesebelasan utama yang akan diturunkan malam ini.

Menurutnya, biarpun tanpa ketua pasukan Rosdi Talib yang digantung kerana mengutip dua kad kuning, skuad Pahang tidak tempang.

``Inilah satu-satunya peluang buat Pahang untuk menang satu piala musim ini dan kemenangan ini dapat menyuntik kembali semangat peminat,'' ujarnya ketika ditemui sewaktu sesi latihan singkat di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam.

Beliau akui rekod pertemuan musim ini di Liga Super memihak kepada Perlis namun itu tidak boleh dijadikan ukuran.

``Malam esok (malam ini) saingan jelas berbeza ia menentukan siapa bakal jadi juara dan gelanggang pula berkecuali ini menjadikan pertembungan sukar untuk diramalkan.

``Melihat semangat pemain saya, memang tidak dinafikan kesemuanya mahu memastikan gelaran juara menjadi mutlak Pahang,'' ujarnya.

Sementara itu Pengurus Perlis, Adzmi Saad berkata, pemain sudah berikrar tidak mahu melepaskan peluang menjulang piala berkubur begitu sahaja.

``Musim ini kita sasar hanya satu piala dan kebetulan Piala FA muncul dan kita juga tidak pernah menang apabila sekadar muncul naib juara pada 2003.

``Inilah masa terbaik memahatkan kemenangan dan menyakinkan kembali semangat pemain dan penyokong,'' ujarnya.

Buat Adzmi, beliau yakin dengan kekuatan Perlis menyandarkan harapan kepada dua permata hitam Zachariah Simukonda dan Philimon Chepita untuk merobek pintu gol Pahang.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0520&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4l6DqjPlh
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan