Sabtu, 23 September 2017

Hairuddin dipanggil sertai skuad negara



ARKIB : 04/05/2007

KUANTAN – Penyerang Pahang, Hairuddin Omar mengikuti jejak pemain pertahanan, Norhafiz Zamani Misbah untuk menyertai skuad bola sepak negara selepas namanya tersenarai dalam siri kunjungan ke Australia dari 7 hingga 25 Mei ini, lapor SHAMSIAH ZULKAFLI.

Ketiadaan dua pemain utama skuad Tok Gajah itu nyata meresahkan jurulatihnya, Ahmad Yusof kerana cabaran Pahang selepas ini akan digalas oleh pemain-pemain muda.

Hairuddin ketika dihubungi di sini, semalam berkata, dia menerima panggilan menyertai skuad kebangsaan itu pagi semalam, hanya beraksi dalam dua perlawanan bersama Pahang sebelum ini selepas pulih dari kecederaan lutut yang dialaminya.

‘‘Pada mulanya, saya sangat terkejut dengan pemilihan itu, namun saya yakin ia akan menambahkan lagi semangat saya untuk mempamerkan aksi terbaik.

‘‘Lebih-lebih lagi, saya terpilih untuk menyertai skuad kebangsaan hanya selepas beraksi dalam dua perlawanan,” kata beliau ketika dihubungi di sini, semalam.

Katanya, dia berazam untuk membalas kepercayaan jurulatih pasukan kebangsaan yang menyenaraikan namanya kali ini.

Perlawanan Piala Malaysia bertemu Sabah di Stadium Likas, malam Sabtu ini akan menjadi perlawanan terakhir Hairuddin mewakili Pahang, selepas turun dalam dua perlawanan sebelum ini ketika menentang Perak pada Sabtu lalu dan Negeri Sembilan Naza.

Walaupun setelah berehat selama dua bulan akibat kecederaan lututnya, aksi Hairuddin pada perlawanan pertamanya ketika menentang Perak Sabtu lalu, begitu meyakinkan setelah menjaringkan satu gol dalam perlawanan yang mengikat Perak dengan keputusan 2-2.

Hairuddin turut beraksi cemerlang pada Kejohanan Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) di Singapura hujung Januari lalu, setelah menyumbatkan dua gol ketika membelasah Filipina 4-0 dalam saingan peringkat kumpulan.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0504&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4tYlGq0uF
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan