Ahad, 10 September 2017

Hairuddin, Nizaruddin dapat panggilan



ARKIB : 27/12/2006
Hairuddin, Nizaruddin dapat panggilan

Oleh A. JAILANI ABDULLAH

KUALA LUMPUR – Hairuddin Omar, Irwan Fadli Idrus dan Mohd. Nizaruddin Yusof kembali ke dalam senarai skuad kebangsaan yang sedang membuat persediaan untuk menghadapi Kejohanan Bola Sepak ASEAN bulan depan.

Senarai itu diumumkan oleh jurulatih kebangsaan Norizan Bakar semalam. Sebanyak 23 pemain telah dipanggil untuk menyertai kem latihan dan beliau telah membuat keputusan memanggil semula beberapa pemain veteran itu, yang telah lebih setahun tidak menyarung jersi kebangsaan.

“Kita mesti memberi peluang kepada pemain-pemain ini untuk berkhidmat lagi dengan skuad kebangsaan,” kata Norizan.

“Kami telah membuat keputusan untuk mengetahui sama ada pemain-pemain yang berpengalaman ini masih bersemangat untuk bermain di peringkat antarabangsa.

“Dengan Kejohanan ASEAN digunakan sebagai sebahagian daripada persediaan kita untuk Piala Asia 2007, kami mesti mulai menilai pemain-pemain untuk mengetahui mana yang bersedia memikul tanggungjawab dan mana yang tidak, ” katanya lagi.

Kali terakhir Hairuddin, Irwan dan Nizaruddin tampil bersama jersi Malaysia ialah sewaktu zaman Bertalan Bicskei menjadi jurulatih khusus untuk kelayakan Piala Dunia 2006.

Norizan menjelaskan bahawa kecederaan ke atas pemain-pemain seperti Mohd. Safee Sali, Akmal Rizal Rakhli serta bekas ketua pasukan Rosdi Talib telah menjadikan pilihannya agak terhad tetapi dia masih menaruh harapan akan tampil pemain-pemain lain sepanjang dia mengendalikan persiapan.

Kejohanan ASEAN yang akan berlangsung pada Januari menyaksikan Malaysia berada dalam Kumpulan A bersama Thailand, Filipina dan Myanmar.

Perlawanan peringkat kumpulan akan berlangsung di Singapura dan Thailand dari 12-17 Januari 2007.

Perlawanan peringkat Kumpulan A akan berlangsung di Stadium Suphachalasai dan Stadium Tentera di Bangkok manakala pasukan iaitu juara bertahan Singapura, naib juara Indonesia, Vietnam dan Laos dalam Kumpulan B akan bersaing di Stadium Nasional dan Stadium Jalan Besar di Singapura.

Dua pasukan teratas setiap kumpulan akan layak ke separuh akhir yang menggunakan format dua pusingan iaitu di tempat sendiri dan tempat lawan pada 23 dan 24 Januari serta 27 dan 28 Januari.

Perlawanan akhir juga akan dilangsungkan secara dua pusingan iaitu pada 31 Januari dan 4 Februari. Juara akan menerima AS$100,000 (RM360,000).

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1227&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4sHhC1XtY
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan