Jumaat, 15 September 2017

Malaysia mudah atasi Filipina


 

ARKIB : 13/01/2007
TONGGAK serangan Malaysia, Mohd. Nizarudin Yusof (kiri) melonjak kegembiraan selepas menjaringkan gol pasukan negara pada perlawanan pembukaan Piala AFF menentang Filipina di Bangkok, semalam. Malaysia menang 4-0. – AFP.

BANGKOK – Malaysia memulakan kempen Kejohanan Bola Sepak ASEAN merebut Piala AFF dengan penuh bersemangat apabila mengatasi Filipina 4-0 pada perlawanaan pembuka tirai Kumpulan A di Stadium Supachalasai di sini, semalam.

Dua jaringan pantas oleh penyerang veteran Hairuddin Omar, jaringan sepakan ala “bicycle kick” Mohd. Nizarudin Yusof serta gol sendiri oleh Anton Del Rosario sudah cukup meningkatkan keyakinan Malaysia sebelum menentang Myanmar dan tuan rumah Thailand selepas ini.

Skuad bimbingan Norizan Bakar, yang diberi harapan kecil untuk mengharungi saingan peringkat awal oleh peminat dan media selepas kekecewaan di Sukan Asia Doha bulan lalu, memulakan persembahan dengan memberangsangkan.

Selepas menewaskan Filipina 4-1 pada Sukan SEA 2005 di Manila, Malaysia menunjukkan kebangkitan dan hanya memerlukan tujuh minit untuk membuka jaringan dengan kombinasi Hairuddin dan Nizarudin sentiasa menjadi duri kepada benteng pertahanan Flipina.

Filipina, yang membariskan pemain muda, menerima tamparan apabila ketua pasukannya Alexander Charles Luis diusung keluar padang selepas cedera ketika cuba menghalang Nizarudin dari melakukan hantaran silang.

Nizarudin, yang dipanggil semula menyarung jersi negara selepas beberapa tahun, membuat hantaran silang bagi Hairuddin membuat tandukan untuk gol pembukaan pada minit ketujuh.

Lapan minit kemudian, tandukan Mohd Kyril Nuhymeen terkena palang tetapi Nizarudin memanfaat bola lantunan itu dengan percubaan ala bicycle kick untuk gol kedua.

Bagaimanapun, sebaik sahaja babak kedua bermula, Hairudin berjaya menggegarkan jaring tetapi pengadil Abbas Daud dari Singapura tidak membenarkan jaringan tersebut selepas pemain Malaysia itu mengasari pemain lawan.

Selepas itu, Malaysia memperlahankan rentak permainan dan jaringan bertambah apabila pemain Filipinan, Rosario melakukan kesilapan sehingga membolos gawang sendiri pada minit ke-71.

Tujuh minit kemudian, Hairuddin menghasilkan gol peribadi keduanya dengan larian solo selepas melepasi Louie Michael Roble Casas.

Jurulatih kebangsaan, Norizan berkata, pujian harus diberikan kepada anak buahnya kerana menunjukkan permainan mantap kerana bukan mudah untuk menang perlawanan pembukaan.

“Bersyukur kepada Tuhan. Sukar untuk menang perlawanan pertama. Pada hakikatnya kami agak goyang pada 15 minit pertama perlawanan tetapi jaringan awal membangkitkan semangat pemain,” ujarnya sejurus tamat perlawanan tersebut.

Katanya, kemenangan itu sudah tentu menaikkan semangat juang pemain apabila menentang juara Piala Merdeka, Myanmar, petang esok.

Sementara itu, dalam perlawanan kedua, tuan rumah Thailand seri 1-1 dengan Myanmar.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0113&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4sjVwPCHD
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan