Sabtu, 23 September 2017

Perak, Brunei, Perlis kukuh kedudukan



ARKIB : 03/05/2007
Perak, Brunei, Perlis kukuh kedudukan
 
Dua penyerang Pahang, Hairuddin Omar (dua kanan) dan Shahril Faizal melakukan tandukan sambil dihalang dua pemain pertahanan Negeri Sembilan dalam saingan Liga Super di Stadium Darul Makmur, malam tadi. – Gambar GHAZALI BASRI.

KUALA LUMPUR – Perak terus memberi tekanan kepada Kedah apabila mudah mengetepikan saingan Pulau Pinang apabila mencatat kemenangan 4-1 dalam perlawanan bola sepak Liga Super di Stadium Batu Kawan, semalam.

Kemenangan bergaya itu mengukuhkan Perak di tangga kedua liga belakang pendahulu, Kedah.

Perak kini mengutip 34 mata, dua mata dipisahkan daripada Kedah yang tidak beraksi semalam.

Perak tidak menunggu seawal minit ke-12 apabila pemain import, Abdolaye Traore meledakkan jaringan awal.

Pada minit ke-46, kedudukan Perak makin ampuh dengan giliran seorang lagi bintang import mereka, Keita Mandjou menjaringkan gol kedua.

Pulau Pinang makin tersentak apabila giliran Ahmad Shahrul Azhar pula menambah gol ketiga Perak pada minit ke-76, namun tuan rumah merapatkan jurang menerusi jaringan Zailani Jaafar pada minit ke-64.

Traore menambah gol keempat Perak pada minit ke-86

Di Stadium Utama, Kangar, kelebihan bermain di gelanggang sendiri disempurnakan dengan bergaya oleh Perlis yang mudah menewaskan pasukan tercorot, Sarawak 5-1.

Philimon Chepita mencipta hatrik seawal minit pertama, 39 dan 50 manakala gol keempat (m-75) menerusi Zachariah Simukonda.

Sarawak memperoleh gol sagu hati menerusi Romeo Kambou pada minit ke-70.

Perlis nyata belum berpuas hati mendahului 4-1, ketika perlawanan berbaki sembilan minit hendak ditamatkan apabila menambah gol kelima menerusi jaringan menarik Azlan Ismail.

Perlis masih kekal di tangga keempat dengan 33 mata.

Di Stadium Hang Jebat, Melaka, Brunei meraih tiga mata penuh walaupun terpaksa berhempas pulas sebelum dapat menewaskan tuan rumah 3-2.

Jaringan

Melaka membuka jaringan menerusi sepakan penalti Faderin Kadir pada minit ke-30 tetapi pelawat menyamakan kedudukan hasil jaringan Alejandro Bargas pada minit ke-48.

Brunei DPMM kembali di depan dengan jaringan pemain import, Joen Kyeong Joon pada minit ke-61 tetapi tuan rumah menyamakan kedudukan menerusi Faderin minit ke-66.

Namun, pelawat tangkas memintas juga menerusi jaringan Kyeong Joon pada minit ke-72.

Di Stadium Darul Makmur, Pahang gagal mengutip tiga mata berharga apabila sekadar seri 2-2 dengan Negeri Sembilan.

Pahang membuka jaringan menerusi Mohamad Kamal Rodiarjat pada minit ke-32 tetapi pelawat menyamakan kedudukan menerusi jaringan Rezal Zambery Yahya pada minit ke-66.

Namun, Pahang dikejutkan dengan gol pendahuluan Negeri Sembilan jaringan Liew Kit Kong pada minit ke-81, namun Jalaluddin Jaafar mengikat kedudukan 2-2 menerusi jaringannya pada minit ke-86.

Di Stadium Shah Alam, Selangor gagal mengambil kesempatan bermain di gelanggang sendiri apabila tewas 1-2 kepada Terengganu.

Buat Terengganu yang masih segar dengan kemenangan berpesta gol menewaskan ATM 9-1 dalam saingan Piala Malaysia minggu lalu, kemenangan itu merapatkan kedudukannya dengan pendahulu liga.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0503&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4tYjGG9IX
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan