Jumaat, 17 November 2017

'Kalah menang perlu bersama'

 
Kuala Terengganu: Penyokong pasukan Terengganu diminta lebih matang dan berhemah ketika memberi kritikan ke atas prestasi pasukan kerana boleh menyebabkan sebahagian pemain berasa kurang selesa seterusnya enggan mendekati peminat kerana bimbang dicemuh dan dikutuk selain menyebabkan semangat dan tumpuan mereka terjejas.

Pemain Terengganu Hairuddin Omar (gambar) berkata, pemain dan pasukan Penyu memang memerlukan sokongan peminat yang menjadi kekuatan utama pasukan dalam membawa cabaran dalam saingan Liga Super atau mana-mana perlawanan.

“Cuma ada kalanya apabila pasukan mengalami kekalahan, pemain akan berasa murung dan hilang semangat kerana ada segelintir peminat yang mencemuh dan melontarkan kritikan keras sehingga menyebabkan tumpuan pemain terganggu.

“Peminat perlu faham, adat permainan, ada masa menang dan kalah. Malah, ia sudah menjadi perkara biasa, saya juga yakin pemain bersedia menerima kritikan asalkan kritikan itu membina dan merangsang semangat tapi bukan dengan cara menghentam pasukan,” katanya.

Hairuddin berkata, penyokong perlu memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada pasukan sama ada ketika mengalami kekalahan atau kemenangan dan peminat perlu dididik dengan budaya penyokong bola sepak luar negara yang memberi sokongan hingga ke minit terakhir perlawanan.

“Saya melihat budaya itu masih rendah dalam kalangan penyokong tempatan. Penyokong di luar negara menangis bersama pasukan mereka, semangat diberi lebih membina berbanding hentaman yang melemahkan semangat pemain.

“Saya sendiri sudah lali dengan pelbagai kejian, cacian dan pujian penyokong. Malah itu semua sudah tidak memberi kesan kepada saya. Tapi budaya seperti itu perlu ditinggalkan, sebaiknya memberi perangsang kepada pemain serta pasukan dengan cara yang lebih berhemah,” katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mac 2016 @ 8:03 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan