Selasa, 28 November 2017

Skuad kebangsaan sedia layan India

ARKIB : 17/07/2008
PETALING JAYA - Gandingan pemain muda dan senior dalam skuad bola sepak kebangsaan kendalian jurulatih, B. Sathianathan bakal membentuk skuad mantap dan serba lengkap.

Kembalinya pemain berpengalaman seperti Nizaruddin Yusof, Hairuddin Omar dan Indra Putra Mahayuddin dilihat mampu menambah sengatan di jentera serangan.

Kehadiran pemain tersebut memberi keyakinan kepada penyerang muda seperti Khyril Muhymeen Zambri dan Zaquan Adha Abdul Radzak untuk melakukan penyudah tajam.

Bagi memperkuatkan jentera serangan, skuad kebangsaan yang akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan skuad kebangsaan India, Selasa ini dan disusuli pertembungan dengan skuad Chelsea hujung bulan ini turut diperkuatkan dengan khidmat Safee Sali.

Bagi Nizaruddin Yusof, pemilihan pemain senior sepertinya dan Hairuddin dapat membantu penyerang muda mendapat lebih sokongan di bahagian depan.

''Saya berpendapat jurulatih keputusan Sathianathan membentuk gandingan pemain baru dan senior bertujuan menambah sengat di jentera serangan.

''Dengan kehadiran pemain senior seperti saya dan Hairuddin, pemain muda yang mempunyai pergerakan laju akan mendapat lebih bantuan di bahagian depan,'' katanya ketika di temui selepas melapor diri untuk latihan pusat skuad kebangsaan di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), semalam.

Nizaruddin merupakan antara 18 pemain yang dipanggil untuk latihan pusat sebelum dijangka berlepas ke Hyderabad, Ahad ini untuk perlawanan persahabatan itu.

Sathianathan turut menyelitkan pemain muda termasuk Aidil Zafuan Abdul Radzak, S. Subramaniam, Daudsu Jamaluddin (pertahanan), Azi Shahril Azmi, Amirulhadi Zainal.

Mereka merupakan antara pemain dari skuad junior yang kalah kepada skuad Olimpik China 0-4 dalam perlawanan persahabatan baru-baru ini.

Bagi Hairuddin pula, kembali berganding dengan rakan lama dalam skuad kebangsaan seperti Nizaruddin satu peluang yang sememangnya dinanti-nantikan.

''Saya berpendapat gandingan saya dan Nizaruddin mudah serasi kerana kami pernah digandingan sebelum ini,'' katanya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0717&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4zlnN7r00

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan