Jumaat, 29 September 2017

Hairuddin teruja dalam cedera



ARKIB : 11/06/2007

PULAU PINANG – Penyerang skuad kebangsaan, Hairuddin Omar tetap teruja untuk kembali berlatih bersama rakan sepasukan di kem latihan di Pulau Pinang bagi menghadapi pusingan akhir bola sepak Piala Asia, bulan depan sekalipun mengalami kecederaan ringan pada buku lali.

Malah, pemain Pahang itu yang ditimpa kecederaan tersebut ketika kunjungan ke Australia, bulan lalu, mahu memastikan dirinya mampu bersaing merebut tempat ke Piala Asia dengan menjalani latihan secara ringan di Padang Universiti Sains Malaysia (USM) dan Stadium Bandaraya sejak Khamis lalu.

‘‘Kecederaan ini tidak membimbangkan. Saya akan kembali berlatih seperti biasa dalam sedikit masa lagi,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad bimbingan Norizan Bakar itu.

Hairuddin kini bersaing dengan Akmal Rizal Rakhli, Safee Sali, Fadzli Shaari, Khyril Muhymeen Zambri dan Indra Putra Mahyuddin untuk slot penyerang.

Kata Hairuddin: ‘‘Saya masih beruntung kerana kecederaan ini dipantau ahli fisioterapi dan mungkin tidak akan berlatih sepenuhnya di Pulau Pinang dan hanya secara ringan di tepi padang. Mungkin pulih betul bila kembali ke Kuala Lumpur minggu depan.’’

Latihan di Pulau Pinang hingga Jumaat ini menyambung kem latihan Malaysia di Australia sebelum kembali ke Kuala Lumpur bagi menghadapi beberapa perlawanan persahabatan menjelang Piala Asia antaranya dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Kuala Lumpur, 21 Jun ini.

Tegas Hairuddin, dia dan rakan sepasukan kini cukup bersemangat dengan masing-masing menunjukkan komitmen tinggi untuk ke Piala Asia apatah lagi dengan kehadiran enam tonggak skuad Olimpik negara antaranya Khyril, Amirulhadi Zainal dan Azi Shahril Azmi.

‘‘Persaingan di kalangan pelatih negara kali ini nampak cukup getir kerana masing-masing mahu menunjukkan kehebatan bagi memikat jurulatih sekali gus ‘mencabar’ rakan lain,” kata Hairuddin yang mewakili negara sejak di bawah bimbingan Abdul Rahman Ibrahim kira-kira tujuh tahun lalu.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0611&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4u8pjkFZx
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan