Isnin, 11 Disember 2017

Malaysia belasah Afghanistan, Sierra Leone mara

ARKIB : 21/10/2008
Oleh MOHD. HAFIZ AHMAD
dan FERZALFIE FAUZI
Zaquan Adha Razak cuba melepasi para pemain Afghanistan sambil diperhatikan oleh Hardi Jaafar (tengah) pada perlawanan dengan Afghanistan di Stadium Nasional Bukit semalam. Malaysia menang 6-0.
- Gambar ZULKARNAIN MOHD SAIDIN

KUALA LUMPUR - Malaysia mengesahkan status selaku juara Kumpulan A sambil menempah pertemuan dengan Myanmar dalam separuh akhir Pestabola Merdeka ke-40 selepas membelasah Afghanistan 6-0, semalam.

Sekalipun cuma perlu seri dalam perlawanan pelengkap jadual di Stadium Nasional, Bukit Jalil kerana telah layak lebih awal, namun tuan rumah terus memberikan aksi terbaik demi menghiburkan kira-kira 3,000 penyokong setia.

Pemain sayap kiri, Ashaari Shamsuddin menyumbangkan dua gol pada minit ke-22 dan m-64, manakala Nizaruddin Yusof dan Zaquan Adha Razak menambah dua lagi di m-42 dan m-45. Safee Sali dan Hairuddin Omar melengkapkan kemenangan besar pada m-84 dan m-87.

Nizaruddin mencipta gerakan untuk gol pembukaan Malaysia apabila hantarannya disempurnakan oleh Ashaari pada m-22.

Dia kemudian berjaya menjaring selepas menolak umpanan Zaquan di m-42, sebelum Zaquan sendiri melebarkan kedudukan 3-0, beberapa saat sebelum tamat babak pertama.

Pada m-64, Ashaari mengukuhkan kedudukan 4-0 buat Malaysia dengan merembat hantaran lambung S.Subramaniam. Safee Sali yang masuk menggantikan Zaquan menanduk gol kelima Malaysia selepas mendapat umpanan Khyril Muhymeen Zambri, manakala gol keenam dilengkapkan oleh Hairuddin.

Pada perlawanan awal di stadium yang sama, menyaksikan Myanmar mengiringi Vietnam ke separuh akhir apabila berjaya menewaskan Mozambique 3-2 dalam perlawanan terakhir Kumpulan B.

Bagaimanapun mereka dikejutkan terlebih dahulu dengan jaringan pertama Mozambique menerusi pemain, Enio Saize pada minit ke-37 selepas menerima hantaran cantik dari Manuel Fernandes di sebelah kanan.

Tersentak dengan jaringan tersebut Myanmar terus melakukan asakan ke kubu Mozambique dan akhirnya mereka berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-57 menerusi sepakan voli, Tun Tun Vin.

Apa pun, Khim Maung Lwin menjadi wira pasukan Myanmar selepas menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-72 hasil dari serangan pantas, seterusnya membolehkan Myanmar mara ke separuh akhir.

Sementara itu di Stadium Shah Alam, turut mengiringi Malaysia ke separuh akhir Kumpulan A ialah Sierra Leone yang menewaskan Nepal 3-1.

Sierra Leone memperoleh gol awal menerusi Mamadu Lajor Bah pada minit keempat hasil hantaran lambung Mumino Khomson Kamara yang gagal ditangkap kemas penjaga gol Nepal, Bikash Malla.

Dalam satu lagi perlawanan awal di Stadium Shah Alam, Bangladesh berjaya membuat kejutan untuk mengikat Vietnam 2-2 walaupun ketinggalan ekoran jaringan gol pembukaan Vietnam seawal minit keempat.



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1021&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5102qJvys

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tolong jangan perlekeh skuad negara

ARKIB : 17/10/2008
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD DAN FERZALFIE FAUZI
PETALING JAYA - Pihak yang memperlekehkan sebarang keputusan yang diperoleh sama ada menang mahupun kalah, akan sentiasa mencipta alasan dan mencari apa sahaja yang tidak kena pada skuad bola sepak negara khasnya dalam Pestabola Merdeka Ke-40 ketika ini.

Jika menang sekalipun, mereka akan menganggapnya kerana lawan terlalu lemah dan tuan rumah dibantu keadaan padang atau cuaca tertentu tetapi kecaman akan bertambah keras sekiranya anak buah B. Sathianathan kalah kepada pasukan seperti itu di Stadium Petaling Jaya, kelmarin.

Secara sedikit terkilan Sathianthan berkata: "Ia telah beberapa kali berlaku sejak Piala Antara Benua, Mei lalu. Apabila kami menewaskan Iraq 1-0, ramai yang katakan lawan cuma pasukan bawah 19 tahun dan bila dapat mengikat Nigeria 1-1, masih ada yang menganggap mereka bukan pasukan Olimpik kebangsaan.

"Sebenarnya dalam pemerhatian saya, ada hampir lapan pemain ketika Piala Antara Benua itu yang turut beraksi dalam Sukan Olimpik Beijing (Ogos lalu). Setelah mengalahkan Nepal kali ini pun, masih ada yang tidak puas hati mengatakan kami macam-macam," katanya dalam sidang akhbar kelmarin.

Kelmarin, Malaysia membuka kempen Pestabola dalam Kumpulan A dengan langkah meyakinkan setelah membelasah Nepal 4-0 menerusi dua jaringan Safee Sali, Indra Putra Mahayuddin dan Khyril Muhymeen Zambri dalam keadaan padang bertakung air, becak dan licin akibat hujan lebat beberapa jam sebelumnya.

Alasan padang licin itu juga digunakan oleh jurulatih Nepal, Krishna Bahadur Thapa untuk melindungi kekalahan pasukannya walaupun membayangkan kemungkinan dapat mengubah keputusan itu, malah mampu menyulitkan laluan Malaysia jika keadaannya berbeza.

Kata Sathianathan, hujan atau tidak dan padang baik atau teruk, masih menyediakan pengajaran kepada skuad negara untuk menghadapi sebarang kemungkinan apabila melangkah ke misi kemuncak, Piala Suzuki AFF di Thailand (Kumpulan B) dari 5 hingga 28 Disember ini.

"Kalau kami bermain di Thailand nanti, entah akan ada ribut atau angin monsun yang melanda, siapa yang tahu tetapi apa pun keadaannya, kami tidak boleh memberikan sebarang alasan dan perlu sentiasa bersedia untuk menghadapi kemungkinan itu," katanya.

Merujuk lawan berikutnya, Sierra Leone, hari ini yang turut dikatakan mungkin tidak menurunkan barisan terkuat Piala Negara-Negara Afrika dan Kelayakan Piala Dunia, kata Sathianathan: "Ia terserah kepada mereka hendak bawa pemain bawah umur atau senior, saya tidak kisah, saya hanya tumpukan pasukan saya.

"Bagi perlawanan kedua ini, saya fikir pemain tengah, Hardi Jaafar akan dapat beraksi (setelah direhatkan kelmarin kerana kecederaan ketika persahabatan dengan Pakistan). Kami perlukan barisan pemain terbaik untuk menentang Sierra Leone kerana saya menganggap taraf setiap pasukan Afrika tetap tinggi," katanya.

Kepulangan Hardi mungkin menyaksikan rombakan pada bahagian perantara serangan antara Hairuddin Omar dengan Zaquan Adha Radzak yang masing-masing dikeluarkan pada babak kedua untuk digantikan oleh Ashaari Shamsuddin dan Khyril.

Sementara itu, sayap kanan, Amirulhadi Zainal yang berhak dijulang sebagai pemain terbaik perlawanan kelmarin, melahirkan rasa puas hati kerana berjaya membantu skuad negara mencapai kemenangan sulung dan berharap untuk mengulanginya apabila menentang Sierra Leone.

"Mereka mungkin sama seperti Nigeria ketika Piala Antara Benua yang lalu khasnya dari segi fizikal. Kepada penyokong negara, teruskan datang ke stadium dan menyokong kerana kami sepasukan benar-benar mengharapkannya," katanya yang menganggap cuaca hujan mungkin menghalang kehadiran mereka yang lebih ramai, kelmarin.

Barisan kemungkinan Malaysia: Helmi Eliza Elias, Irwan Fadzli Idrus, Norhafiz Zamani Misbah, Aidil Zafuan Radzak, Daudsu Jamaluddin, Shukor Adan, Hardi Jaafar, Indra Putra Mahayuddin, Hairuddin Omar, Safee Sali, Amirulhadi Zainal
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1017&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz50wjtMfJY

© Utusan Melayu (M) Bhd