ARKIB :
08/01/2011
Oleh MUHAMMAD
DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
KUALA LUMPUR -
Musim lalu, jurulatih Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hassan sering mengeluh
dengan kualiti kesebelasan utama dan barisan simpanan skuad Rusa yang jauh
berbeza, malah terlalu bergantung harap kepada sentuhan penyerang kebangsaan,
Zaquan Adha Abdul Razak.
Atas faktor
itu, Negeri Sembilan sering berputih mata dalam banyak perlawanan, walaupun
mencipta banyak peluang di depan gawang lawan.
Bagaimanapun,
itu cerita lama. Untuk musim 2011, Hoben Jang Hoben bakal muncul antara skuad
yang akan dicemburui lawan, malah tidak keterlaluan untuk menggelarkan pasukan
itu adalah 'pasukan impian' buat mana-mana jurulatih.
Negeri
Sembilan bakal mendapat sentuhan bekas penyerang Kelantan, Hairuddin Omar dan
tiga bekas pemain Perlis, Ahmad Fakri Saarani yang juga penyerang kebangsaan
serta bekas penyerang Harimau Muda, Ahmad Aminuddin Shaharuddin dan penjaga
gol, Farizal Marlias.
Pemain lain
yang melengkapkan senarai tujuh muka baru di Negeri Sembilan ialah dua bekas
pertahanan KL Plus, Norhafiz Zamani Misbah dan Irwan Fadzli Idrus serta pemain
tinggi lampai PKNS, G. Mahathevan.
''Musim ini
saya rasa boleh menarik nafas lega kerana skuad Negeri Sembilan dibarisi ramai
pemain yang berpengalaman yang mampu mengubah cabaran serta hala tuju pasukan.
''Paling saya
gembira adalah di jentera serangan kerana mendapat sentuhan tiga pemain baru,
walaupun Fakri masih belum cergas sepenuhnya sementara Zaquan dijangka akan
pulih Mac nanti.
''Apa yang
pasti, saya kini mempunyai banyak pilihan pemain untuk diturunkan, paling
penting masalah ketumpulan penyudah yang kami pernah alami pada musim lepas
tidak akan berulang kembali, '' katanya ketika dihubungi, semalam.
Musim lalu,
Negeri Sembilan gagal menyerlah di peringkat saingan Liga Super, walaupun
muncul juara Piala FA dan mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia, ekoran
masalah kecederaan pemain utama di samping ketandusan penyudah oleh Zaquan.
Walaupun
begitu, Wan Jamak berkata, dia tidak mahu bersikap terlalu selesa, kerana
baginya apa yang menjadi keutamaan buat masa ini adalah mahu mencari kombinasi
terbaik di antara pemain baru dan lama di dalam pasukan.
''Tugas
pertama sebelum perlawanan sepak mula pada 29 Januari ini adalah membentuk
keserasian di kalangan muka baru dan lama.
''Tiada guna
juga jika skuad ini dibarisi ramai pemain berprofil tinggi, tetapi gagal
bermain sebagai dalam satu pasukan, '' ujarnya.
Selain itu,
Wan Jamak berkata biarpun Negeri Sembilan menerima kehadiran ramai muka baru,
peluang untuk pemain muda di dalam skuad itu tetap terbuka luas, kerana
perjalanan liga yang ketat serta melebihi 40 perlawanan.
''Saya akan
melakukan perubahan pemain, jika perlu tambahan kami mungkin melalui dua
perlawanan dalam masa seminggu.
''Maka peluang
buat pemain muda untuk turun beraksi tetap ada bagi mereka mendapat pendedahan
sewajarnya dan saya sama sekali tidak akan meminggirkan mereka, '' katanya.
SUMBERArtikel
Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0108&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5dKuWbiJh
© Utusan
Melayu (M) Bhd