Isnin, 3 Disember 2018

Saya mahu balas jasa NS - Hairuddin


 
ARKIB : 04/11/2009
Saya mahu balas jasa NS - Hairuddin
Hairuddin Omar
KUALA LUMPUR - Statusnya hanyalah pemain yang dipinjamkan, namun peranannya begitu penting sebagai antara penggerak utama jentera Negeri Sembilan.

Tiga gol setakat ini di sepanjang kempen Piala Malaysia, di belakang penyerang utama Negeri Sembilan, Zaquan Adha Abdul Razak yang menjaringkan sembilan gol, sudah cukup untuk menceritakan betapa Hairuddin Omar amat berharga buat skuad Negeri Sembilan.

Pemain yang mewakili T-Team dalam kempen Liga Perdana musim ini kini merupakan penjaring kedua terbanyak Negeri Sembilan, berkongsi tiga gol dengan pemain veteran, Idris Karim.

Bagi Hairuddin, kejayaan Negeri Sembilan melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Kelantan, Sabtu ini menjadikan pilihannya bersama Negeri Sembilan satu keputusan yang tepat.

''Saya memilih pasukan yang tepat untuk bermain dalam kempen Piala Malaysia. Untuk itu saya mahu membalas jasa Negeri Sembilan kerana sudi menerima saya beraksi bersama mereka,'' katanya.

Walaupun sudah boleh berpuas hati dengan kejayaan membawa Negeri Sembilan ke perlawanan akhir, pemain yang berasal dari Terengganu ini berkata, dia tidak akan puas selagi tidak menjulang trofi Sabtu ini.

''Kejayaan Negeri Sembilan ke perlawanan akhir bukan peranan saya seorang sahaja. Ini usaha sepasukan. Saya tidak akan berpuas hati selagi tidak menjulang Piala Malaysia bersama Negeri Sembilan,'' ujarnya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1104&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz5Yc7Wa0bE
© Utusan Melayu (M) Bh