Khamis, 16 Mac 2017

Hairuddin direhatkan


ARKIB : 04/03/2001
 Daripada: A. JAILANI ABDULLAH
HONG KONG - Penyerang kebangsaan, Hairuddin Omar terpaksa diketepikan daripada barisan skuad negara yang akan menentang Qatar dalam perlawanan pembukaan bola sepak kelayakan Piala Dunia 2002 di sini hari ini, akibat mengalami kecederaan ibu jari kaki.

Pemain Terengganu itu dilihat tidak selesa ketika menjalani latihan akhir di Siu Sai Wan di sini, petang semalam.

Ibu jari kaki pemain itu membengkak semasa latihan menjelang perlawanan penting dengan Qatar.

Ketiadaan Hairuddin menyebabkan jurulatih negara, Allan Harris tidak mempunyai pilihan lain kecuali menurunkan barisan penyerang campuran antara pemain muda, Akmal Rizal Ahmad Rakhli dengan penyerang senior, Rusdi Suparman.

Jika ini berlaku ia bermakna perlawanan dengan Qatar adalah tugasan pertama Akmal, pemain yang beraksi dengan FC Haguenau di Perancis, dengan skuad kebangsaan.

Sementara itu, Malaysia akan tetap dengan sistem 4-4-2 untuk berdepan dengan corak permainan pantas Qatar.

``Saya mengarahkan pemain agar menutup terus bahagian tengah untuk menghalang serangan balas Qatar yang sudah tentunya akan menggunakan penuh kehebatan Mohamed Salem (El-Enazi) untuk mencari gol,'' kata Harris selepas latihan semalam.

Mohamed Salem adalah satu-satunya pemain Qatar yang beraksi di luar negara dan pernah bermain di Turki sebelum bersama dengan kelab pendahulu liga Amirieah Arab Bersatu, Al-Wahdh.

Penyerang itu menjaringkan 20 gol musim ini sebelum dipanggil oleh skuad kebangsaan Qatar.

Daripada latihan semalam, Harris berkemungkinan menurunkan ketua pasukan, Ahmad Shahrul Azhar Sofian dan Mohd. Shukor Adan untuk mengemudi bahagian tengah sementara Anuar Jusoh di sebelah kiri dan V. Saravanan di kanan.

Bahagian sayap kanan pula akan diisi Bahtiar Othman manakala di seberang padang pula Rosdi Talib.

Pertahanan akan diketuai B. Rajinikandh bergandingan dengan Khairil Zainal untuk membantu penjaga gol, Mazelan Wahid.

Harris berkata, perlawanan pertama sangat penting kepada setiap pasukan, oleh itu skuadnya tidak meletakkan sasaran lain kecuali untuk mencipta kemenangan.

``Kita juga mesti mengelak daripada menerima kekalahan apabila bertemu Qatar kerana ia akan menaikkan semangat pemain untuk menghadapi perlawanan seterusnya,'' katanya.

Sementara itu jurulatih Qatar, Dzemal Hadziabic tetap menghormati keupayaan Malaysia walaupun pasukannya diletakkan sebagai pilihan utama di sini.

``Kami hanyalah pasukan pilihan di atas kertas. Dalam perlawanan sebenar segala-galanya boleh berlaku,'' katanya yang tiba bersama pasukannya di sini, seminggu lebih awal.

Katanya, beliau tahu mengenai Malaysia mengalami kekalahan dalam beberapa perlawanan persahabatan sebelum ke sini tetapi itu tidak boleh dijadikan alasan untuk memandang remeh keupayaan skuad Harris.

``Kekalahan Malaysia sebelum ini bukanlah gambaran kepada prestasi mereka. Di sini mereka datang bukan untuk perlawanan persahabatan,'' jelas jurulatih dari Bosnia itu.

Katanya juga, Mohamed Salem mungkin tidak diturunkan akibat kecederaan kaki dan ini akan memberi masalah kepada bahagian serangan kerana selain penyerang utama itu, pemain lain kurang berpengalaman.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0304&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bTjF61hk
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan