ARKIB : 05/03/2001
Qatar... 5 Malaysia... 1
Daripada: A. JAILANI ABDULLAH
HONG KONG - Pasukan bola sepak
negara menerima igauan buruk apabila dibelasah 5-1 oleh pasukan pilihan, Qatar
dalam perlawanan pembukaan pusingan kelayakan Piala Dunia kumpulan Tiga Asia di
Stadium Hong Kong, Causeway Bay, di sini semalam.
Meskipun berjaya mengejutkan
lawan dengan gol pendahuluan menerusi jaringan Rosdi Talib seawal minit
kesembilan cabaran Malaysia longlai pada babak berikutnya.
Tambah mengecewakan apabila
pemain pertahanan, Khairil Zainal pula menjadi korban kad merah apabila dia
menepis bola di depan garisan gol.
Pemain tengah, Rosdi meletakkan
Malaysia di hadapan menerusi sepakan percuma setelah penyerang muda, Akmal
Rizal Rakhli dijatuhkan berhampiran kotak penalti.
Jaringan Rosdi ibarat menjolok
sarang tebuan. Qatar bingkas dengan gol penyamaan pada minit ke-10 menerusi
tandukan penyerang tinggi lampai, Mohamed Salem El-Enazi di depan pintu gol
selepas menerima bola hantaran lintang Mubarak Mostafa Fazli.
Salem, satu-satunya pemain Qatar
yang beraksi dengan kelab luar negara, Al-Wadh di Amiriah Arab Bersatu,
mencipta hatrik apabila menjaringkan dua lagi gol pada minit ke-37 dan 59.
Dua lagi gol Qatar disumbangkan
oleh Mubarak Mustofa menerusi sepakan penalti pada minit ke-52 dan tandukan
Jassim Yousuf Al-Tamimi di dalam kawasan gol 15 minit sebelum permainan tamat.
Malaysia bermain dengan agak baik
pada babak pertama walaupun kurang senang dengan banyak keputusan penjaga
garisan yang tidak mengangkat bendera apabila penyerang lawan ofsaid.
Bagaimanapun, sepakan penalti
yang disempurnakan oleh Mubarak setelah tangan Khairil terkena bola pada minit
ke-52 menjadi detik kemusnahan semangat juang skuad negara.
Penjaga gol skuad negara, Mazelan
Wahid nyata gugup beraksi dalam perlawanan antarabangsa pertamanya sejak Sukan
SEA Chiang Mai 1995 dan banyak membuat kesilapan.
Penjaga gol Sarawak itu
bagaimanapun tidak boleh menjadi sasaran kritikan kerana dia hanya dipanggil
tiga hari sebelum skuad negara berlepas ke sini, menggantikan Azram Aziz dan
Kamarulzaman Hassan yang disingkirkan akibat masalah disiplin.
``Mazelan banyak membuat
kesilapan, tetapi saya tidak mahu bercakap banyak mengenainya kerana dia hanya
dipanggil pada saat-saat akhir,'' kata jurulatih negara, Allan Harris selepas
perlawanan.
Beliau memuji permainan anak
buahnya pada babak awal yang menurutnya dimusnahkan oleh keputusan penjaga
garisan yang tidak profesional.
``Kita bermain dengan baik pada
separuh masa pertama tetapi penjaga garisan tidak profesional. Banyak kali
penjaga garisan tidak mengangkat bendera apabila pemain-pemain Qatar berada
dalam keadaan ofsaid,'' kata Harris.
Beliau bagaimanapun mengakui
Qatar bermain dengan baik sesuai dengan diri mereka yang menjadi pilihan utama
kumpulan ini.
``Saya tidak terkejut dengan
keputusan ini kerana kita tahu Qatar memang pasukan yang kuat. Bagaimanapun
perlawanan ini baik untuk pendedahan kepada pemain-pemain muda,'' kata Harris
yang menggantikan V. Saravanan dan Anuar Jusoh dengan dua pemain muda, Jaafar
Salleh dan Gilbert Cassidy.
Harris tidak menurunkan penyerang
senior, Rusdi Suparman sebaliknya menggandingkan Hairuddin Omar dengan
penyerang berusia 19 tahun, Akmal Rizal Ahmad Rakhli, yang jarang mendapat
bola.
Ini perlawanan antarabangsa
pertama Akmal, pemain dari Kedah yang menimba pengalaman dengan kelab Perancis,
FC Haguenau sejak hujung 1999.
MALAYSIA - Mazelan Wahid, B.
Rajanikandh, Ahmad Shahrul Azhar Sofian, Hairuddin Omar, Akmal Rizal Rakhli,
Anuar Jusoh (Gilbert Cassidy), Khairil Zainal, Rosdi Talib, V. Saravanan (Jaafar
Salleh), Bahtiar Othman, Mohd. Shukor Adan.
QATAR - Amer Abdulrahman
Al-Kaabi, Mubarak Mostafa Fazli, Dahi Saad Al-Naemi, Jassim Yousuf Al-Tamimi,
Mohamed Salem El-Enazi (Meshal Abdullah B.M Abdulla), Saoud Fath Al-Kathiri,
Saad Sattam Al-Shammari, Yousuf Adam Mahmoud, Waleed Hamza Rasoul, A-Rahman
Mahmoud Mohd., Abdulaziz Hassan Bujaloof (A-Nasser Ali Al-Obaidly). - Utusan
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0305&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bTm66zpI©
Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan