Khamis, 16 November 2017

Tiada guna gaji tinggi tapi diperam



sukanteam@nstp.com.my
 
PERSATUAN Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) menuntut pemain yang beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) tidak mengejar tawaran lumayan semata-mata sebaliknya perlu memikirkan mengenai peluang lebih kerap beraksi dalam kesebelasan utama.

Presidennya Hairuddin Omar berkata, keputusan bijak harus difikirkan oleh setiap pemain bagi memastikan mereka tidak ‘diperangkap’ kemewahan yang boleh menyebabkan seseorang pemain lupa diri.

Selain itu bekas pemain kebangsaan yang kini menjadi penolong jurulatih skuad bawah 19 tahun (B-19) negara turut menuntut pemain mengamalkan disiplin tinggi sama ada ketika berada dalam padang mahupun luar padang sekiranya mahu melangkah lebih jauh dalam arena bola sepak.

“Seperti biasa sekarang adalah musim untuk mendapatkan pemain baru bagi mengharungi saingan Liga-M musim depan dan sudah pasti proses tawar-menawar serta memancing pemain sudah bermula selepas berakhirnya saingan Piala Malaysia pada 4 November lalu.

“Oleh itu saya ingatkan pemain supaya tidak terpengaruh dengan tawaran lumayan semata-mata, sebaliknya perlu memikirkan posisi mereka dalam skuad yang diwakili.

“Tiada guna mendapat gaji tinggi tapi hanya memanaskan bangku simpanan saja hingga habis musim dan akhirnya prestasi mereka merudum sekali gus menyukarkan lagi untuknya beraksi bersama pasukan lain pada musim berikutnya,” katanya.

Mengulas lanjut Hairuddin yang juga seorang usahawan turut menasihati pasukan supaya bertindak secara profesional sebelum mendapatkan pemain yang diidamkan.

“Saya bimbang jika perkara ini tidak dibendung segera ia boleh menjadi virus.

“Oleh itu setiap pasukan juga harus bijak menawarkan kontrak bagi mengelak lambakan pemain di bangku simpanan dan akhirnya pemain itu sendiri yang rugi kerana kurang beraksi bersama pasukan,” tegasnya.

Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 November 2017 @ 2:30 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan