Jumaat, 17 November 2017

Tindakan Syafiq tak salah: PFAM



Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
 
PERSATUAN Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) menganggap tindakan penyerang muda Kedah, Muhammad Syafiq Ahmad berunding secara sendirian ketika kontraknya bakal berakhir 30 November ini, normal dan tidak menyalahi peraturan liga tempatan.

Timbalan Presiden PFAM, Rezal Zambery Yahya berkata, Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) sepatutnya peka mengenai status kontrak pemainnya dan perlu bergerak pantas dengan menawarkan perjanjian baru sekiranya berminat mengekalkan pemain itu.

“Dalam isu Syafiq rasanya tidak ada apa yang salah. Walaupun dia pergi berjumpa pemilik Johor Darul Ta’zim (Tunku Ismail Sultan Ibrahim) dengan kontraknya masih ada bersama KFA tak salah, sebab kontrak dia akan tamat bulan depan.”

“Sepatutnya majikan harus tawarkan kontrak baru tiga bulan sebelum tamat dan sekiranya gagal, pemain berhak bergerak bebas untuk melakukan rundingan dengan mana-mana pasukan.”

“Tak kiralah kalau KFA kata masih dalam proses perbincangan atau apapun, kalau sudah berbaki tiga bulan masih tiada jawapan, pemain ada hak dan tak boleh disekat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kelmarin, ayam tambatan skuad bawah 22 tahun negara (B-22) itu mengejutkan penyokong skuad Helang Merah apabila gambarnya berjumpa Tunku Ismail dipaparkan di laman rasmi Facebook JOHOR Southern Tigers (JST).

Menerusi keterangan gambar pada posting berkenaan - ‘kualiti menarik kualiti’ turut menggambarkan betapa Johor DT memandang tinggi kemampuan pemain kelahiran Pulau Pinang itu sekali gus memberi petanda mereka begitu berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

Bagaimanapun, semalam Syafiq tampil mendedahkan bahawa dia terpaksa bergerak secara solo mencari pasukan baru selepas KFA dilihat gagal menawarkan sebarang kontrak baharu meskipun beberapa kali perbincangan sudah dijalankan.

“Kita kena faham, periuk nasi pemain adalah bermain bola sepak. Jika majikannya lambat dan tiba-tiba enggan memperbaharui kontrak, sudah tentunya pemain itu tidak dapat mencari pasukan baharu di saat akhir.”

“Mana-mana pasukan harus mempunyai pelan jangka panjang dan tahu pemain yang mereka mahukan untuk musim baru. Jangan buat kerja ‘last minit’ kerana ia jelas tidak profesional,” katanya.

Jelasnya lagi, dia turut menasihatkan Syafiq agar tidak terburu-buru menandatangani kontrak dengan pasukan baru seandainya masih berminat untuk kekal bersama Kedah.

“Saya harap Syafiq memikirkan semasak-masaknya sebelum menurunkan tandatangan. Kita tak mahu timbul pula isu dua kontrak yang kemudiannya menyusahkan diri sendiri dan pasukan,” ujarnya.

sumberArtikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Oktober 2017 @ 4:01 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan