Selasa, 13 Disember 2016

Terengganu tempah laluan sukar

ARKIB : 24/11/1999
NAIB juara tahun lalu, Terengganu menempah laluan getir untuk mengulangi kejayaan 1998 dalam bola sepak Piala Malaysia, apabila seri 1-1 dengan Sarawak pada perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, semalam.

Gelanggang sendiri tidak membawa tuah kali ini, malah tuan rumah ketinggalan di minit ke-43 separuh masa pertama menerusi jaringan penyerang Sarawak, Ramles Sari.

Mujur ketua pasukan, Anuar Jusoh berjaya menyamakan kedudukan 13 minit sebelum tamat perlawanan bagi memastikan Terengganu masih mempunyai bekal untuk menghadapi perlawanan ulangan di Stadium Sarawak pada 27 November depan.

Sarawak, yang beraksi dalam separuh akhir kelima selepas 1988, 1993, 1995 dan 1996 semakin hampir untuk melakar sejarah mara ke perlawanan akhir buat kali pertama.

Dengan disaksikan kira-kira 18,000 penonton, perlawanan bermula dengan aksi agak seimbang kedua-dua pasukan biarpun sesekali pasukan pelawat lebih banyak menguasai permainan.

Asakan demi asakan di semua posisi barisan serangan Sarawak ternyata semakin berbisa dengan gandingan dua penyerang mereka, Ramles Sari dan Gilbert Cassidy Gawing yang memaksa penjaga gol Terengganu, Zubir Ibrahim bekerja keras.

Bermula dengan Ramli yang berlegar seperti tidak dikawal dengan senang mengancam kubu lawan terutama pada minit ke-24 babak pertama.

Bagaimanapun dua cubaannya berjaya diselamatkan oleh Zubir.

Selang beberapa minit kemudian, pemain tuan rumah nyaris menerima padah apabila bekas pemain skuad Olimpik, Gilbert membuat rembatan kencang yang terkena palang.

Barisan pemain Terengganu yang seolah-olah terpaku dan hilang konsentrasi sekali lagi hampir diundang padah setelah Gilbert yang melarikan bola dari kawasan tengah padang sebelum melepaskan rejaman namun juga ditepis keluar penjaga gol berpengalaman, Zubir.

Pada minit ke-43, Ramles tidak mensia-siakan peluang hasil pergelutan di depan pintu gol yang menyepak bola terkena kaki Abdul Ghani Malek lalu mencecah jaring Terengganu.

Babak kedua perlawanan bermula. Bagaimanapun aksi pasukan tuan rumah masih tidak banyak berubah dengan penyerangnya, Sapian Wahid gagal memanfaatkan beberapa peluang apatah lagi bila berdepan dengan abang sendiri, penjaga gol Sarawak, Mazlan Wahid.

Begitu juga gerakan Mohd. Noor Derus yang serba tidak menjadi hanya kelihatan kaku dan begitu mudah membiarkan bola dirampas pihak lawan.

Sehinggalah minit ke-77, Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah yang pada mulanya kedengaran dengan laungan herdikan bertukar menjadi gempita apabila Anuar Jusoh menjaringkan gol penyamaan.

Gol terhasil apabila bola muntah dari genggaman Mazlan ekoran tandukan padu adiknya, Sapian.

Jaringan itu juga menyuntik semangat juang Penyu untuk memastikan kekalahan memihak kepada mereka lebih-lebih lagi beraksi di gelanggang sendiri sebelum ke Kuching nanti.

Sekurang-kurangnya, jurulatih pasukan, Yunus Alif mampu bertindak bijak sebelum terlambat menjelang perlawanan timbal balik dengan Sarawak bagi membaiki segala kelemahan.

TERENGGANU: Rosli Omar (Zulharisham Awang), Abd. Ghani Malik, Mohd. Zulfakri Ashaari (Faziallah Mamat), Syamsol Saad, Sapian Abd. Wahid, Hairuddin Omar (Mohd. Rafdi Abd. Rashid), Rosdi Talib, Mohd. Noor Derus, Anuar Jusoh, Badrul Hisham Abdullah, Zubir Ibrahim.

SARAWAK: Mazlan Abd. Wahid, Roslan Mohd. Ismail (Jeffry Lana), Ramles Sari, Bobby Pian, Mohd. Ali Sapiee, Mohd. Dahlan Matussin, Mohd. Zaidil Sakup, Bobby Chua (Johnny Joseph), Ibrahim Mantali, Mohd. Nasri Yunus (Ramos Sari), Gilbert Cassidy Gawing.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1124&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4ShjoNRKG © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan