Isnin, 25 September 2017

Pemain tempatan belum sedar: Hairuddin



Ahad, 24 September 2017 | 5:41pm
PRESIDEN Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), Hairuddin Omar setuju pandangan B Sathianathan. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
Pemain tempatan belum sedar: Hairuddin
Oleh Mohamad Zulfaizan Mansor
zulfaizan@bh.com.my
 
KUALA LUMPUR: Majoriti pemain tempatan masih belum sedar mengenai apa yang perlu dilakukan untuk bersaing dengan pemain import bagi merebut tempat dalam skuad utama pasukan masing-masing.

Ia berikutan ramai pemain dilihat hanya mengharapkan latihan bersama jurulatih tanpa mementingkan latihan tambahan untuk meningkatkan prestasi sendiri seperti yang disuarakan bekas jurulatih Harimau Malaya, B Sathianathan.

Malah, bekas pemain kebangsaan, Hairuddin Omar turut menyokong pandangan Sathianathan yang menyifatkan pemain perlu mencari inisiatif sendiri untuk meningkatkan prestasi mereka termasuk melakukan latihan tambahan dan menjaga disiplin terutama dari aspek pemakanan serta waktu tidur.

Hairuddin yang juga Presiden Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) berkata, latihan tambahan sebenarnya antara inisiatif sendiri yang menjadi kunci utama buat pemain mencipta kejayaan dalam kerjaya mereka.

"Memang latihan tambahan sebenarnya tidak menjadi amalan biasa buat pemain kita sedangkan ia adalah faktor penting untuk meningkatkan prestasi.

"Ia juga menjadi antara faktor pemain macam saya, Indra (Putra Mahayuddin) dan Shukor (Adan) boleh bertahan lama (dalam arena bola sepak) kerana kami pentingkan latihan tambahan.

"Kita tidak boleh harapkan hanya latihan yang diberi jurulatih saja, ada ketika jurulatih hanya akan fokus kepada bahagian tertentu dalam latihan.

"Jadi, kita sebagai penyerang seharusnya ada inisiatif sendiri untuk berlatih dan mempertajamkan penyudah," kata bekas pemain berusia 37 tahun itu.

Hairuddin atau lebih dikenali sebagai Hai O termasuk dalam senarai nama pemain yang disebut Sathianathan yang 'rajin' melakukan latihan tambahan selepas berlatih bersama pasukan.

Usaha lebih keras perlu dilakukan pemain tempatan bagi merebut tempat dalam skuad utama musim depan selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan menambah satu lagi kuota import untuk pemain Asia Tenggara dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).
BERITA HARIAN ONLINE Ahad, 24 September 2017 | 5:41pm

Tiada ulasan:

Catat Ulasan